Anda di sini

Kes bunuh Bill Kayong, dua ahli kimia beri keterangan

Advertisement

MIRI: Dua ahli kimia masing-masing pakar dalam bidang sisa serbuk letupan (GPR) dan sisa tembakan (GSR) merupakan dua saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan pada hari keenam perbicaraan kes bunuh Bill Kayong.

Mereka adalah Mohd Riduan Mohd Bakhir, 38, pakar GPR di Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Cawangan Kuching dan Farah Ad-Din Nordin, pakar GSR di Ibu Pejabat JKM, Petaling Jaya.

Dalam keterangannya, Riduan mengesahkan pada jam 12.30 tengah hari, 25 Julai 2016, beliau ada menerima sebanyak 16 eksibit berhubung satu kes bunuh daripada ASP Lee Chee Keat.

Selain itu katanya, pada 27 Julai 2016, beliau juga ada menerima empat eksibit daripada rakan setugas, Zaliha Saudi yang merupakan pegawai saintifik di JKM Kuching.

Semasa diterima, semua eksibit dalam keadaan baik dengan 16 sampul dimeterai dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak IPB Miri.

Manakala empat eksibit yang diterima daripada Zaliha tidak dimeterai,” katanya.

Kepada soalan lain, Riduan memberitahu telah menampal pelekat makmal dengan nombor unik bagi membezakannya dengan kes lain yang saya terima.

Katanya, beliau sendiri telah melakukan ujian fizikal terhadap tiga barang kes berhubung berat dan diameter peluru untuk mendapatkan ukuran bagi saiz tembakan peluru. Saya dapati peluru tersebut mengalami kerosakan terus dan tidak dapat diklasifikasi.

Saya turut melakukan analisis kimia (ujian warna) ke atas empat barang kes dan saya dapati satu elemen yang menunjukkan sisa tembakan tidak dikesan pada empat barang kes tersebut.

Saya lakukan pemeriksaan ke atas satu eksibit bertanda E24 dan mendapati ia konsisten dengan peluru bersaiz 12 yang biasa digunakan untuk senapang patah,” terang beliau lanjut.

Terdahulu, Hakim Ravinthran N.Paramaguru meminta Riduan yang merupakan saksi pendakwaan ke-17 memberi penjelasan berhubung ketidakhadirannya kelmarin.

Pada hari Jumaat, saya beritahu Kamal bahawa saya tidak dapat hadir (untuk memberi keterangan) pada tarikh 13 hingga 15 Mac kerana pada 13 Mac saya berada di Kuala Lumpur dan 14 Mac memberi ceramah di Politeknik. Seperti mana dipersetujui, saya akan hadir pada 27 Mac untuk memberi keterangan,” jelasnya.

Justeru Ravinthran menegaskan, sebaik sapina diserahkan kepada saksi sejak dua minggu lepas, tiada sebarang permohonan penangguhan untuk saksi memberi keterangan dibenarkan.

Dalam kes itu, Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Manakala Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook, Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Sementara Farah, 30, saksi pendakwaan ke-18 memberitahu pada jam 8.20 pagi, 2 Ogos 2016 ada menerima satu sampul surat tidak bertanda bermeterai label keselamatan JKM berisi dua sampul surat dengan pelekat nombor makmal unik dari JKM Cawangan Kuching yang dihantar menggunakan perkhidmatan Poslaju.

Katanya, semasa diterima, kedua-dua sampul yang di dalam keadaan baik kemudian disimpan di dalam bilik kebal.

Dalam keterangannya, Farah memberitahu telah melakukan analisis ke atas kesemua bahan keluli (eksibit) yang diterimanya dengan menggunakan peralatan Scanning Electron Microscope (SEM).

Perbicaraan akan bersambung pada 27 Mac ini.

Advertisement