Anda di sini

Kapal Britain musnahkan terumbu Indonesia

Advertisement
 Gambar serahan Agensi Keselamatan Marin Indonesia yang dirakam Isnin lalu menunjukkan terumbu karang yang terjejas di Raja Ampat, timur Indonesia. — Gambar AFP
MUSNAH: Gambar serahan Agensi Keselamatan Marin Indonesia yang dirakam Isnin lalu menunjukkan terumbu karang yang terjejas di Raja Ampat, timur Indonesia. — Gambar AFP

SORONG: Indonesia semalam berikrar akan mengambil tindakan selepas sebuah kapal persiaran milik Britain merempuh terumbu karang dan menyebabkan kemusnahan meluas di sudut terpencil Indonesia yang terkenal sebagai salah satu habitat marin paling pelbagai bio di dunia, kata penyelidik dan pegawai kelmarin.

Kementerian luar di Jakarta berkata, kerosakan yang diakibatkan oleh Caledonian Sky boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah dan pihak berkuasa mungkin menuntut ekstradisi kapten kapal ke Indonesia.

Raja Ampat di timur Indonesia sudah lama menjadi tarikan utama bagi pengembara yang berani dan penyelam yang tegar, dengan pulau-pulau yang dipenuhi pokok palma dan dikelilingi karang dan ikan berwarna-warni yang berubah warna.

Namun kapal Caledonian Sky seberat 4,200 tan merempuh terumbu setelah terkandas waktu air surut sekitar Kri, satu daripada ratusan pulau kecil di Raja Ampat, awal bulan ini selepas ia membawa pelancong dalam ekspedisi melihat burung.

Kapal itu, yang membawa 102 penumpang dan 79 anak kapal, hanya terapung semula semasa air pasang.

Beberapa cubaan untuk menariknya menggunakan kapal tunda gagal, sebaliknya hanya memburukkan lagi kerosakan ke atas terumbu.

Kemalangan itu merosakkan terumbu karang kira-kira seluas 13,500 meter padu yang mungkin memakan kos sebanyak AS$16.2 juta (RM72.9 juta) untuk dipulihkan, menurut Ricardo Tapilatu, seorang penyelidik marin dari Universiti Papua yang mengetuai pasukan yang menilai impak.

Kerajaan Indonesia berkata ia sedang menilai kerosakan dan akan menuntut ganti rugi daripada pengusaha kapal.

Selepas Indonesia, kapal itu belayar ke Filipina dan pihak berkuasa berang kapten tidak menunggu penilaian kerosakan dibuat.

Kemarahan meletus dalam kalangan penduduk khususnya para nelayan tempatan dan industri pelancongan tempatan yang bergantung kepada keindahan semula jadi di Raja Ampat untuk menghidupkannya.

Bagaimanakah ini boleh berlaku?

Adakah budak berusia 12 tahun mengemudi?” kata Stay Raja Ampat, laman sesawang yang menghubungkan pelancongan dengan inap desa, dalam laman Facebooknya.

Kerosakan sauh dari kapal seperti ini sudah cukup buruk, tetapi menggeselkan kapal di atas terumbu lebih teruk.”

Perkara ini tidak akan dibiarkan,” tegas jurucakap kementerian luar Arrmanatha Nasir.

Pihak berkuasa berkata, kemusnahan terumbu karang adalah satu kesalahan undang-undang yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun.

Ketua agensi pelancongan Raja Ampat, Yusdi Lamatenggo, mengesahkan kemalangan itu yang berlaku pada 4 Mac lalu.

Kumpulan alam sekitar Conservation International berkata, kapal yang mengibarkan bendera Bahamas itu telah belayar ke dalam kawasan yang tidak boleh dimasuki kapal kerana terumbu karang yang unik.

Ini adalah satu kerugian yang amat besar bagi kami,” kata pengarah program marin di Conservational International Indonesia, Victor Nikijuluw.

Pengusaha kapal itu, syarikat pelancongan yang berpangkalan di Britain, Noble Caledonia, menyebut dalam satu kenyataan kepada akhbar Jakarta Post bahawa ia amat menyesali sebarang kerosakan ke atas terumbu berkenaan.

Kepulauan terpencil Raja Ampat, yang bermaksud Empat Kerajaan dalam bahasa Indonesia, terletak di antara Lautan Pasifik dengan Lautan Hindi.

Satu laporan pada 2002 dari Conservation International menyebut ia mempunyai hampir 1,400 jenis ikan dan 603 spesies karang. — AFP

Advertisement