Anda di sini

Didik masyarat tentang konservasi marin

Advertisement
 Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing terlibat dengan aktiviti cantuman tulang dugong bagi membentuk susuk tubuh haiwan itu semasa Karnival Konservasi Hidupan Marin baru-baru ini. — Gambar Bernama
PENGALAMAN UNIK: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing terlibat dengan aktiviti cantuman tulang dugong bagi membentuk susuk tubuh haiwan itu semasa Karnival Konservasi Hidupan Marin baru-baru ini. — Gambar Bernama

TIGA kotak plastik polipropilena berwarna biru yang diletakkan di satu sudut gelanggang bola tampar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing menjadi fokus perhatian sekumpulan pelajar.

Mereka seakan-akan tidak sabar untuk melihat isi kandungan kotak berkenaan.

Bagaimanapun, sebelum kotak itu dibuka dan pelajar dibenarkan memegang ‘bahan’ yang ada di dalam kotak itu, ada beberapa prosedur keselamatan yang perlu dipatuhi.

Kami dikehendaki memakai sarung tangan dan penutup muka.

Sekiranya tidak, ia berisiko memudaratkan kesihatan sekiranya kulit tersentuh ‘bahan’ itu, “ kata Nur Azza Syahirah Asmadi, 18, seorang daripada pelajar berkenaan kepada Bernama.

Pelajar itu mengimbau kembali pengalaman menjadi ‘saintis’, antara program Karnival Konservasi Hidupan Marin yang diadakan di sekolah itu pada akhir 2014.

Biarpun agak berbahaya, pelajar itu dan rakan-rakannya tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu.

Apa yang perlu mereka lakukan ialah mencantum serta memasang tulang dugong sehingga membentuk susuk tubuh binatang itu.

Dalam kotak berkenaan ada tulang dugong dan ia bukan sedikit tetapi ratusan. Tugas kami pada hari itu adalah mengukur dan melukis setiap tulang.   

Kemudian, memasangkan tulang berdasarkan kod iaitu di mana bahagian kepala, tulang belakang dan akhir sekali ekor sehinggalah menjadi rangka dugong,” kata Nur Azza Syahirah.

Biarpun sudah lebih dua tahun program itu berlangsung, anak kelahiran Mersing ini masih lagi mampu mengingati setiap proses pembentukan rangka haiwan berkenaan.

Yang ada di depan kami adalah tulang dugong betul. Ini yang membuatkan kami sangat teruja.

Prosesnya bukan mudah dan kena banyak bersabar semasa mengukur dan memasang tulang dugong kerana berlainan saiz.

Awalnya, ada rasa putus asa kerana banyak kali juga proses cantuman gagal serta perlu dibuat semula tetapi akhirnya kami berjaya,” katanya.

Bagi memasang setiap tulang, penggunaan tanah liat digunakan untuk memudahkan proses menanggalkannya jika berlaku kesilapan cantuman.

Bahagian paling sukar adalah tulang ekor kerana ia sangat halus.

Keseluruhan proses mengambil masa lima jam untuk disiapkan.

Bagi Nur Azza Syahirah, pembelajaran secara praktikal mempunyai banyak kelebihan.

Baharulah saya tahu apa itu dugong dan mengapa ia terancam.

Pembelajaran secara praktikal sungguh efektif dan sehingga hari ini saya boleh berkongsi dengan rakan-rakan,” katanya.

Pengalaman itu juga menjadi pendorong kepada pelajar ini untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains marin sebaik tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016.

Ketika menunggu keputusan SPM saya sudah tahu bidang apa yang saya ingin pilih.

Karnival itu dan peluang berjumpa pakar penyelidikan marin menarik minat saya melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan,” katanya.

Dua universiti yang menjadi pilihannya untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan itu adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Nur Azza Syahirah adalah antara 50 pelajar SMK Mersing yang terbabit dalam program pemasangan tulang dugong atau juga dikenali sebagai lembu laut ini semasa karnival berkenaan.

Mungkin ada yang beranggapan acara kesedaran itu hanya memberi manfaat kepada anak keempat daripada lima beradik ini dan rakannya yang lain.

Justeru, ia dilihat seolah-olah tidak mempunyai nilai apatah lagi kebanyakan yang terbabit dalam program itu sudah tamat tingkatan lima dan bekas pelajar SMK Mersing.

Bagaimanapun, program berkenaan sebenarnya banyak membantu pihak sekolah dalam mendidik pelajar baharu tingkatan satu atau berada dalam pembelajaran menengah ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan dugong.

DOKUMENTARI KHAS

Ini kerana pemasangan tulang dugong itu adalah antara adegan dokumentari khas ‘Konservasi Hidupan Marin’ yang dilakonkan oleh Nur Azza Syahirah dan sebahagian besar pelajar sekolah berkenaan.

Dokumentari itu dijadikan modul pembelajaran sekolah berkenaan sehingga ke hari ini bagi mendedahkan pelajar mengenai dugong, habitatnya serta taburan mamalia marin itu.

Pengetua SMK Mersing Zaliha Ismail berkata, video dokumentari itu membabitkan beberapa babak yang menceritakan bagaimana usaha konservasi dugong dilakukan sehinggalah terwujud rangka dugong yang kini dipamerkan di Jabatan Taman Laut (JTLM), Mersing.

Idea menerbitkan dokumentari ini idea JTLM dan kami memberi sokongan penuh.

Kepentingan alam sekitar termasuklah ekosistem marin diterapkan dalam mata pelajaran Geografi dan video ini menjadikan pembelajaran lebih menarik.

Pihak sekolah berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang mana kita perlu bekerjasama dengan pihak swasta, NGO serta ibu bapa bagi program berkaitan alam sekitar,” kata Zaliha.

Dokumentari konservasi laut mamalia dugong terbahagi kepada dua siri.

Siri pertama berdurasi kira-kira 17 minit sementara siri kedua, hampir 13 minit.

Banyak maklumat yang terkandung dalam dokumentari ini, antaranya, catatan penemuan bangkai dugong di kepulauan Taman Laut Negeri Johor dan Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI)-Pulau Sibu.

Terdapat juga maklumat proses membuat aduan kepada JTLM, usaha penanaman mamalia berkenaan di Pulau Tinggi, penggalian balik selepas dua tahun ia ditanam untuk mendapatkan tulang bagi menjadikannya ‘rangka’.

Video yang turut membabitkan kerjasama Pusat Kegiatan Guru Mersing (PKGM), Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (Ekomar) UKM, dan pertubuhan bukan kerajaan seperti MareCet sememangnya bahan penting untuk dijadikan modul pembelajaran sekolah itu.

Ini kerana kebanyakan anak-anak dari pulau di Timur Mersing seperti Pulau Sibu, Pulau Tinggi menyambung persekolahan mereka di SMK Mersing.

Menurut Zaliha, daripada 1,160 pelajar sekolah berkenaan, seramai 14 pelajar datang dari pulau dan mereka tinggal di asrama.

Pulau-pulau di timur Mersing dikenal pasti habitat dugong paling banyak di negeri Johor.

Kita ada empat pelajar dari Pulau Sibu, dua dari Pulau Tinggi, tiga dari Pulau Aur, seorang dari Pulau Pemanggil dan empat orang dari Pulau Tioman.

Mereka duduk di asrama dan dua minggu sekali balik ke rumah masing-masing.

Kebanyakan ibu ayah pelajar ini adalah nelayan atau bekerja dalam sektor pelancongan di pulau berkenaan,” katanya.

SEMUA TERLIBAT

Bagaimanapun, usaha meningkatkan pengetahuan kelestarian alam tidak hanya bergantung kepada video berkenaan semata-mata. Malah, SMK Mersing banyak melaksanakan projek lain dengan JTLM.

Ini termasuk menyediakan satu ruang di sekolah untuk dijadikan ‘pusat mini informasi’.

Pelbagai maklumat hidupan marin disediakan di pusat itu dalam bentuk 3D bagi menarik minat pelajar.

Datuk Dr Sukarno Wagiman Ketua pengarah JTLM berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti kerajaan negeri, agensi kerajaan, penduduk tempatan dan NGO untuk sama-sama membabitkan diri secara aktif dalam agenda konservasi dugong.

Program kesedaran ini dilakukan secara berterusan meliputi semua peringkat umur dan pekerjaan. Sasaran utama JTLM adalah pelajar sekolah dan kaedah pembelajaran secara praktikal.

Kumpulan paling senang kita dekati adalah pelajar sekolah.

Mereka boleh dijadikan duta kerana mesej itu akan diceritakan kembali kepada orang dewasa.

Kalau diceritakan mengenai dugong, JTLM lebih fokus pendekatan praktikal kerana ia akan masuk terus ke dalam hati apabila mereka mengalaminya sendiri.

Walaupun ia sekadar pengalaman kecil tetapi sangat berharga.

Berbanding sekadar bercakap dan tengok slaid, ia tidak terasa apa-apa dan pelajar tidak dapat menghayatinya,” katanya.

Selain usaha JTLM, kerajaan negeri Johor komited ke arah peningkatan kesedaran masyarakat setempat untuk sama-sama bergading bahu melestarikan khazanah alam ini.

Datuk Ayub Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 pada tahun 2017 akan lebih memfokuskan program berbentuk pendidikan dan informasi.

Kerajaan negeri Johor di bawah Rancangan Johor Lima Tahun (RJ5T) 2016 meluluskan peruntukan RM1 juta untuk Kajian Kebolehlaksanaan bagi Cadangan Pewartaan dan Pengurusan Santuari Dugong.

Untuk aspek pemuliharaan pula, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) bercadang memperkenalkan konsep penajaan anak angkat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). — Bernama

  • oleh
  • Advertisement