Anda di sini

Belia Sabah dapat manfaat e-Rezeki Global High Income

Advertisement

Mampu kembang perniagaan ke peringkat antarabangsa

KOTA KINABALU: Ke-mahiran dalam bidang ilustrasi yang banyak di-pelajari melalui laman YouTube membolehkan Ethericlaire Esteban, 30, menjana pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding kerjayanya sebagai seorang penyambut tetamu.

Penglibatannya dalam program e-Rezeki dan e-Rezeki Global High Income ternyata banyak mengubah kehidupannya pada masa ini.

Siapa sangka hobi belajar ilustrasi daripada YouTube boleh digunakan untuk menjana pendapatan yang baik,” katanya.

Ethericlaire atau lebih mesra dengan panggilan Esther berkata, beliau amat bertuah kerana pemilihannya menyertai program e-Rezeki pada September tahun lalu membuka ruang untuknya mengetahui kemahiran tersembunyi yang dimiliki.

Wanita yang berasal dari Tambunan ini berkata, pembelajaran selama tiga bulan dalam program e-Rezeki memberi keyakinan kepadanya untuk pergi lebih jauh dengan bakat yang ada sebagai pelukis ilustrasi.

Kini, pelanggan yang membuat tempahan buku ilustrasi daripadanya datang dari pelbagai negara.

Menurutnya, setiap buku dikenakan bayaran bermula RM250 bergantung kepada ketebalan sebuah buku yang ditempah.

Esther berkata, beliau juga dilantik sebagai pelatih bagi program e-Rezeki Global High Income.

Beliau menyarankan golongan muda yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) supaya menyertai program e-Rezeki Global High Income yang memberi banyak manfaat kepada pelatih terutama dalam memperkembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Turut berkongsi rahsia kejayaan yang sama melalui penyertaan dalam e-Rezeki Global High Income di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ialah Nurul Faiezah Chun Lee.

Wanita yang mempunyai kemahiran dalam membangunkan laman sesawang ini kini mempunyai pelanggan yang bukan sahaja datang dari Malaysia tetapi juga negara lain seperti Qatar dan United Kingdom.

Nurul yang berasal dari Kuala Penyu berkata, pengalaman bekerja dengan syarikat swasta di Shah Alam membuka matanya bahawa kerjaya sebagai seorang pereka laman sesawang tidak boleh terikat kepada satu syarikat sahaja. Menjadi ‘freelance’ menjanjikan pendapatan yang jauh lebih baik.

Niat untuk kembali bekerja di Sabah juga mendorong beliau untuk meninggalkan kerjaya sebagai pereka laman sesawang di syarikat swasta berkenaan.

Katanya, pelaksanaan program e-Rezeki di Sabah pada tahun lalu membuka jalan kepadanya untuk memperkembangkan kemahiran dalam pembangunan laman sesawang dan sistem. Penyertaan dalam program e-Rezeki Global High Income membolehkannya mampu membezakan antara scam (penipuan) atau tidak.

Selepas menyertai e-Rezeki selama tiga bulan, saya bersama lima rakan lain dalam bidang yang sama ditawarkan untuk menyertai program e-Rezeki Global High Income yang memberikan latihan lebih mendalam serta ‘coaching one-to-one’.

Saya tidak menyangka penglibatan dalam program e-Rezeki membolehkan saya lebih terdedah kepada cara untuk memperkembangkan kemahiran yang ada,” katanya.

Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Quran dan Multimedia ini berasa bertuah kerana beliau kini turut menjadi pelatih dalam program e-Rezeki Global High Income.

Ia memberi ruang untuknya melatih anak-anak tempatan Sabah yang mempunyai kemahiran ICT supaya memperkembangkan lagi bakat mereka ke peringkat global.

Pusat e-Rezeki di Sabah terletak di Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF) dan ia dibuka setiap hari bekerja bermula 9 pagi hingga 4 petang.

Advertisement