Anda di sini

Turki bidas EU burukkan perbalahan

Advertisement

Kritikan blok tersebut dianggap tidak berguna kerana menggalakkan kebencian

 Rutte mengadakan sidang akhbar semasa berkempen untuk pilihan raya umum di Rotterdam, kelmarin. — Gambar Reuters
RETORIK DEMI UNDI: Rutte mengadakan sidang akhbar semasa berkempen untuk pilihan raya umum di Rotterdam, kelmarin. — Gambar Reuters

ANKARA: Turki semalam membidas Kesatuan Eropah (EU) selepas blok tersebut mengkritik Ankara dalam perbalahan diplomatik yang semakin buruk dengan Belanda, dengan menyatakan kritikannya tiada nilai.

Kenyataan EU yang pendek akal tiada nilai bagi negara kami,” kementerian luar menyebut dalam satu kenyataan.

Ankara mendakwa, berbanding cuba menjernihkan keadaan, EU memberi pujian kepada kebencian terhadap orang asing dan sentimen anti-Turki dengan memilih untuk memihak dengan negara-negara yang mencabuli perjanjian diplomatik dan undang-undang.

Brussels kelmarin menyeru kepada Turki untuk mengelak daripada mengeluarkan kenyataan melampau selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan menuduh Belanda berkelakuan seperti kumpulan Nazi.

Lewat kelmarin, Erdogan mengulangi kenyataannya, dan berkata apa yang berlaku di Eropah adalah Nazisme, ‘kita boleh panggil ini Nazisme baharu, kecenderungan Nazisme baharu’.

Ketegangan di antara Turki dengan negara-negara anggota EU meningkat selepas Jerman dan Belanda melarang acara di mana ahli politik Turki mahu mendapatkan sokongan sebelum satu undian pada bulan depan. Belanda turut mengusir menteri keluarga Turki pada hujung minggu lepas.

Pada 16 April, rakyat Turki akan memutuskan sama ada untuk meluluskan pindaan perlembagaan atau tidak untuk mewujudkan jawatan presiden eksekutif, bagi menambah kuasa Erdogan.

Namun ketua dasar luar EU Federica Mogherini dan Pesuruhjaya Pembesaran EU Johannes Hahn berkata, terpulang kepada Berlin dan The Hague untuk memutuskan sama ada untuk membenarkan ahli-ahli politik Turki ke dalam negara atau tidak bagi mendapatkan sokongan untuk undi ‘ya’.

Kementerian berkenaan menyelar kenyataan EU yang mengandungi penilaian salah dan menggabungkan pelbagai agenda untuk cuba memutar-belit persepsi.

Rakan-rakan kami dalam EU menggunakan nilai-nilai demokratik, hak asasi manusia dan kebebasan secara selektif,” tambah kementerian itu.

Ia mengecam sokongan EU kepada kerajaan Belanda, yang ia tuduh melanggar nilai-nilai Eropah, dan berkata ia amat serius sekali.

Sementara itu Perdana Menteri Belanda Mark Rutte semalam berkata sekatan Turki terhadap kerajaan Belanda ekoran perbalahan diplomatik itu “tidak terlalu buruk” tetapi tidak sewajarnya kerana pihak Belanda sebenarnya yang ada lebih banyak sebab untuk rasa marah.

Sekatan itu termasuk membeku semua komunikasi diplomatik tetapi tiada langkah ekonomi.

Dari sudut lain, saya masih mendapati ia pelik kerana di Turki, mereka bercakap mengenai sekatan sedangkan kita melihat bahawa kami ada sebab untuk rasa sangat marah dengan apa yang berlaku pada hujung minggu ini.”

Pada Sabtu lepas, Belanda menyekat menteri luar Turki daripada mendarat di bumi Belanda dan kemudian mengarahkan menteri hal ehwal keluarga untuk meninggalkan negara selepas beliau cuba pergi ke Rotterdam untuk berucap kepada penyokong Presiden Tayyip Erdogan.

Kerajaan Rutte marah dengan Erdogan kerana merujuk kepada orang Belanda sebagai ‘Nazi’ dan keazamannya untuk mengadakan perhimpunan kempen bagi referendum pada April pada Sabtu lepas di kalangan orang Turk di bumi Belanda tanpa permit.

Sementara itu, Belanda mengadakan pilihan raya umum hari ini. — AFP

Advertisement