Anda di sini

Santuari bagi dugong dan rumput laut

Advertisement
 Monumen dugong di Pulau Sibu yang dibina Perbadanan Taman Negara Johor pada 2016 sebagai lambang perasmian Projek Santuari Dugong Johor. Corak tapak monumen tersebut diilhamkan daripada pola bekas ragutan pemakanan dugong. — Gambar Bernama
PUSAT PERLINDUNGAN: Monumen dugong di Pulau Sibu yang dibina Perbadanan Taman Negara Johor pada 2016 sebagai lambang perasmian Projek Santuari Dugong Johor. Corak tapak monumen tersebut diilhamkan daripada pola bekas ragutan pemakanan dugong. — Gambar Bernama

RAKYAT Johor semestinya berasa bangga kerana hanya di perairan negeri ini dikenal pasti wujud habitat dugong di Semenanjung Malaysia.

Malah kajian turut mendapati Johor mempunyai populasi dugong lebih besar diikuti Sabah dan Sarawak.

Berdasarkan sumber Jabatan Perikanan Malaysia, perairan Johor mempunyai antara 40 hingga 50 ekor dugong atau juga dikenali sebagai ‘lembu laut’ manakala 20 hingga 30 ekor di Sabah dan Sarawak.

Dr Louisa Ponnampalam, Pengerusi dan pengasas bersama MareCet dan juga Felo Penyelidik di Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya (UM), berkata kepulauan timur Mersing adalah habitat dugong paling utama di negeri Johor dan Semenanjung Malaysia.

Ia berdasarkan hasil penyelidikannya sejak 2010 menerusi kaedah pemantauan udara bagi mengenalpasti taburan dan pergerakan dugong di Johor.

MareCet adalah pertubuhan bukan kerajaan ditubuhkan khusus untuk konservasi hidupan marin.

Kajian saya di perairan Mersing, Tanjung Leman dan kepulauan timur Mersing (Pulau Tinggi, Pulau Besar dan Pulau Sibu) mendapati taburan dugong paling padat di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi.

Malah bilangan dugong berkumpul lebih daripada 20 ekor di kawasan itu,” kata Louisa.

Pulau Tinggi, Pulau Besar dan Pulau Sibu adalah antara pulau Taman Laut Negeri Johor dan Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) yang terletak di kepulauan timur Mersing.

Menariknya, biarpun jumlah dugong di Johor dianggarkan tidak melebihi 100 ekor namun ia berada dalam populasi ‘sihat’ iaitu boleh membiak dengan sempurna.

Bagaimanapun, kebanyakan mamalia marin di kepulauan timur Mersing berada di luar kawasan perlindungan Taman Laut Negeri Johor dan TLSI.

Taman Laut adalah kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh dua batu nautika dari tikas air surut terendah, kecuali Pulau Kapas di Terengganu, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil di Labuan yang dizonkan sejauh satu batu nautika dari tikas air surut terendah.

Taman Laut yang diwartakan di bawah Akta Perikanan 1985 ditadbir kerajaan persekutuan melalui Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM).

Manakala, TLSI di bawah pentadbiran negeri menerusi Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) menetapkan kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh tiga batu nautika, iaitu penambahan satu nautika dari kawasan perlindungan Taman Laut.

PUSAT PERTAMA

Di kawasan pulau yang diwartakan itu, sesiapa pun tidak dibenarkan menangkap ikan dan melakukan sebarang kerosakan ekosistem biologi marin yang terdapat di dalamnya.

Kajian saya mendapati taburan ibu dan anak dugong di Pulau Sibu-Tinggi berada di luar kawasan perlindungan.

Jadi, saya rasa kawasan ini perlu dilindungi kerana berisiko mendedahkan dugong dan ekosistem rumput laut iaitu makanan utama dugong kepada bahaya akibat aktiviti manusia,” kata Louisa.

Menurut beliau, kriteria paling penting memelihara dugong adalah melindungi padang rumput laut kerana tanpanya ia berisiko diancam kepupusan.

Rumput laut juga sumber pembekalan makanan laut kepada manusia dan habitat hidupan marin lain.

Justeru pendekatan menyeluruh digerakkan menerusi kerjasama pelbagai pihak berkaitan bagi menjamin kelangsungan dugong dan ekosistem rumput laut.

Kerajaan negeri Johor ketika ini sedang merangka dasar untuk mewujudkan Santuari Dugong.

Pelaksanaan santuari ini nanti menjadikannya kawasan perlindungan pertama untuk mamalia marin ini serta rumput laut di Malaysia.

Antara langkah yang akan diambil ialah memperluaskan kawasan perlindungan taman laut dan TLSI sedia ada kepada satu keluasan baharu.

Ini akan ditentukan menerusi kerjasama antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan (Jabatan perikanan, JTLM), MareCet, penyelidik universiti tempatan dan pihak berkepentingan lain termasuk komuniti tempatan.

Kawasan santuari ini akan dilaksanakan di perairan Pulau Tinggi, Pulau Sibu dan Pulau Besar, melibatkan keluasan kira-kira 150,000 hektar.

Kawasan ini akan diuruskan secara bersama oleh pihak bertanggungjawab antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Menurut Datuk Ayub Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, kerajaan negeri Johor di bawah Rancangan Johor Lima Tahun (RJ5T) tahun 2016 meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk Kajian Kebolehlaksanaan bagi Cadangan Pewartaan dan Pengurusan Santuari Dugong.

Skop kerja termasuk pembangunan sempadan dan pelan pengurusan, pelancaran projek dan monumen dugong, penandaan sempadan dan boya laut, lawatan kerja pengurusan dugong serta pengukuran dan pewartaan.

Semua skop kerja ini dilaksanakan pada tahun 2016 dengan menggunakan peruntukan yang sedia ada.

Insya-Allah Santuari Dugong dapat diwujudkan pada tahun ini,” katanya.

 Sekumpulan besar dugong yang dijumpai di sekitar Pulau Sibu sewaktu pemantauan dari udara oleh MareCet. — Gambar Bernama
PERLU DIPELIHARA: Sekumpulan besar dugong yang dijumpai di sekitar Pulau Sibu sewaktu pemantauan dari udara oleh MareCet. — Gambar Bernama

PROJEK GLOBAL

Menariknya, satu Monumen Santuari Dugong siap dibuat di Pulau Sibu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menandatangani plak monumen berkenaan serta meletakkan tanda Santuari dugong di atas Google Map yang akan menunjukkan gambar dan lokasi pusat santuari itu.

Sudah pasti kewujudan Santuari Dugong itu memberi satu lagi nilai tambah pelancongan kepada Pulau Sibu.

Justeru usaha kerajaan negeri Johor memastikan industri pelancongan tidak menjejas atau mengganggu habitat dugong ialah melalui Pelan Pengurusan Santuari Dugong.

MareCet sedang menyediakan pelan ini, antaranya, dengan mewujudkan sistem zon terutamanya di kawasan sumber makanan dan pembiakan dugong.

Sistem penzonan ini penting kerana kawasan perairan Kepulauan Mersing adalah sumber ekonomi bagi penduduk tempatan dan pada masa sama memastikan dugong dan habitatnya terpelihara.

Ini bertujuan mendapatkan keseimbangan antara pemuliharaan dan ekonomi penduduk setempat,” kata Ayub.

Selain peruntukan dari negeri Johor, projek pemuliharaan dugong dan rumput laut ini meraih perhatian peringkat antarabangsa apabila Global Environment Facility (GEF) memperuntukkan dana AS$414,677 (RM1,840,750.90) untuk tempoh tiga tahun bermula September lepas.

Peruntukan itu adalah untuk lima projek, empat daripadanya di Pulau Tinggi dan Pulau Sibu manakala satu lagi dikhususkan di Sarawak. 

Ia membabitkan kerjasama antara Jabatan Perikanan Malaysia, JTLM, MareCet, Reef Check Malaysia, UM, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarawak Forestry Corporation.

Projek penyelidikan dana GEF ini dinamakan Projek Pemuliharaan Dugong dan Rumput Laut Global.

Lapan buah negara terbabit dalam projek ini iaitu Malaysia, Indonesia, Madagascar, Mozambique, Kepulauan Solomon, Sri Lanka, Timor-Leste dan Vanuatu.

Kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan spesies terancam ini serta memberi ‘suara’ kepada rumput laut turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila pada tahun lepas beliau melancarkan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (NPBD) yang disemak semula.

NPBD 2016-2025 sebagai panduan bagi pengurusan biodiversiti untuk tempoh 10 tahun akan datang bermula 2016, turut memberi penekanan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan dugong serta rumput laut.

Manakala Jabatan Perikanan Malaysia telah menyediakan Pelan Tindakan Pengurusan dan Pemuliharaan Dugong Malaysia (NPOA). 

Malaysia dijangka menandatangani memorandum persefahaman dengan Konvensyen Dugong Mengenai Spesies Penghijrah (CMS) menjelang Mac (2017) ini.

Ia bagi membolehkan Malaysia menjadi sebahagian daripada pelantar antarabangsa bagi melindungi dan memulihara spesies dugong memandangkan negara terlibat dengan pemuliharaan haiwan ini sejak 1998.

NELAYAN KENTAL

Bidin Md Ali mula mengenali dunia lautan sejak umur enam tahun.

Kemahirannya sebagai nelayan dipelajari daripada bapanya.

Anak kelahiran Pulau Sibu ini masih mengharung lautan luas untuk mencari rezeki biarpun usianya sudah mencecah 61 tahun.

Hasil tangkapan katanya, bergantung kepada cuaca.

Walaupun sedikit hasil pendapatan, itulah yang digunakan bapa kepada 11 orang anak ini menyara keluarga besarnya.

Nelayan di sini menggunakan kayu jenis mentangor sepanjang 12 kaki untuk tahu kawasan itu lubuk ikan.

Letakkan hujung kayu itu ke dalam air manakala satu lagi dihalakan ke telinga.

Saya boleh mengetahui sama ada kawasan itu berpasir atau terumbu karang berdasarkan gelombang bunyi yang dihasilkan.

Biasanya lubuk ikan berada di kawasan karang,” Bidin berkongsi antara kemahiran sebagai nelayan.

Bidin mempunyai rumah di Mersing tetapi masih menetap di Pulau Sibu.

Baginya, kehidupan di pulau sangat bermakna dan tidak sama di darat.

Kos kehidupan juga tidak membebankan dan tambahan di perairan pulau itu ada haiwan istimewa, dugong.

Saya rasa bertuah kerana di pulau ini ada spesies unik dan mengharapkan ia terus dipelihara untuk diwarisi masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Penulis menemu ramah nelayan ini melalui telefon berikutan keadaan cuaca (laut bergelora berikutan musim tengkujuh baru-baru ini) tidak mengizinkan untuk pergi ke pulau berkenaan.

Untuk ke Pulau Sibu yang terkenal dengan kejernihan air lautnya ini memerlukan seseorang itu menaiki bot di jeti Tanjung Leman, kira-kira 72 kilometer dari pekan kecil Mersing.

Tidak ada cara lain.

Perjalanan ke Pulau Sibu mengambil masa kira-kira setengah jam.

Penulis berjaya mendapatkan nombor telefon Bidin melalui anaknya, Nur Haziqah, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai kehadiran dugong, Bidin berkata, kelibat dugong semakin sukar dilihat di perairan berkenaan sejak ramai pelancong berkunjung ke pulau berkenaan.

Pulau Sibu adalah antara pulau yang terletak di daerah kepulauan timur Mersing dan diwartakan sebagai Taman Laut Negeri Johor serta Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI).

Haiwan ini pemalu dan peluang menjumpainya sangat sukar.

Kalau sesiapa terjumpa dugong di sini itu dikira bernasib baik,” katanya.

Pastinya, komitmen kerajaan negeri Johor untuk mewujudkan santuari dugong serta rumput laut memberi kelegaan kepada nelayan seperti Bidin.

Secara umumnya, penduduk Pulau Sibu dan Mersing yang kebanyakannya nelayan turut mengalu-alukan langkah itu kerana kawasan perairan itu adalah sumber rezeki buat mereka.

Saya tidak kisah apa sahaja perancangan pihak berkenaan.

Yang penting orang kampung tidak dipinggir dan menjejaskan mata pencarian kami yang bergantung rezeki kepada hasil laut,” kata Bidin. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement