Anda di sini

Rasuah: Ketua Balai Bomba Langkawi dipenjara 40 bulan, denda RM60,000

Advertisement

ALOR SETAR: Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dijatuhi hukuman penjara 40 bulan dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan rasuah, pada Oktober 2012.

Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Yaakob Hassan, 49, selepas meneliti rayuan yang dikemukakan oleh peguam bela, Paramjit Singh dan hujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A Hafiizh Abu Bakar.

Pada 8 Mac lalu, Zanol Rashid telah memutuskan tertuduh bersalah namun hukuman tidak dapat dijatuhkan berikutan Yaakob masih ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan menetapkan semalam bagi menjatuhkan hukuman itu.

Bagi pertuduhan pertama, Yaakob didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Jamat Harun melalui panggilan telefon semasa pengadu berada di rumahnya di Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, pada jam 7.46 malam, 13 Okt 2012.

Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu menutup siasatan kes polis terhadap anak lelaki pengadu, Mohd Shafiqq Affandi Jamat.

Bagi pertuduhan itu, Zanol Rashid menjatuhkan hukuman 20 bulan penjara dan denda RM50,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, Yaakob dituduh menerima rasuah RM2,000 daripada Ahmad Ridzwan Jamat bagi tujuan sama di dalam bilik Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Jalan Kasap, Langkawi pada jam 3 petang, 14 Okt 2012.

Bagi pertuduhan kedua, Yaakob dikenakan penjara selama 20 bulan dan denda RM10,000 dan jika gagal membayarnya boleh dipenjara dua bulan.

Hukuman penjara itu bagaimanapun berjalan serentak bermula hari ini.

Zanol Rashid kemudiannya membenarkan hukuman penjara itu ditangguh selepas selesai proses rayuan namun perlu membayar denda berkenaan semalam.

Bagi dua kesalahan itu, Yaakob dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang memakai baju-T dan berseluar sukan kemudiannya dilihat memeluk anggota keluarga dan rakan-rakan. — Bernama

Advertisement