Anda di sini

Myanmar mungkin usir semua etnik Rohingya: Pakar PBB

Advertisement

GENEVA: Myanmar mungkin mahu mengusir ‘semua’ penduduk etnik Rohingya dari negara itu, kata seorang pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, dan mendesak diadakan inkuiri peringkat tinggi ke atas penderaan terhadap masyarakat minoriti Islam itu.

Pegawai perhubungan khas PBB bagi hak asasi manusia di Myanmar, Yanghee Lee, berkata pembersihan kaum sepenuhnya mungkin matlamat multak bagi penindasan institusi dan keganasan dahsyat yang sedang dilakukan ke atas orang Rohingya.

Bukti “menunjukkan kerajaan mungkin cuba mengusir populasi Rohingya dari negara itu sepenuhnya”, kata Lee kepada majlis hak asasi manusia PBB.

Angkatan tentera melancarkan operasi berdarah ke atas orang Rohingya padam Oktober lalu di negeri utara Rakhine ekoran serangan oleh puak militan di beberapa pos sempadan.

Penyiasat PBB berkata dalam operasi ketenteraan itu, wanit dirogol beramai-ramai oleh askar dan bayi Rohingya dibunuh.

Lee mahu majlis hak asasi manusia menubuhkan siasatan peringkat tertinggi PBB, Suruhanjaya Inkuiri (COI), untuk menyiasat operasi tersebut selain episod ganas pada 2012 dan 2014.

Majlis itu dapat menubuhkan suruhanjaya tersebut sebelum sesinya tamat pada hujung bulan ini, tetapi pemain penting termasuk Kesatuan Eropah (EU) belum lagi menyokong seruan Lee kerana kebimbangan bahawa siasatan PBB mungkin akan mengancam kempen demokrasi negara yang rapuh.

Bercakap kepada pemberita selepas kemunculannya di majlis berkenaan, Lee berkata beliau percaya sokongan bagi Suruhanjaya Inkuiri adalah dingin, termasuk dalam EU.

Negara-negara “enggan menyatakan mereka tidak akan menyokong seruan kita, tetapi saya ada dengar negara-negara berkata mungkin Aung San Suu Kyi memerlukan masa lagi”, kata Lee, yang merujuk kepada penerima Anugerah Keamanan Nobel yang mengetuai kerajaan awam di Myanmar.

Kerajaan Suu Kyi, yang berkuasa tahun lepas setelah berdekad-dekad di bawah pemerintahan keras tentera, menolak usaha Lee untuk menubuhkan Suruhanjaya Inkuiri dan menegaskan siasatannya sendiri dapat mencari fakta di Rakhine.

Beliau juga memberitahu majlis siasatan dalaman kerajaan terbukti tidak memadai.

Semua wakil dari EU, Belanda dan Britain mengelak soalan mengenai Suruhanjaya Inkuiri dalam perbincangan kelmarin.

Utusan Britain Julian Braithwaite berkata, masyarakat global perlu melibatkan Myanmar tanpa merosakkan imbangan rumit awam-tentera. — AFP

Advertisement