Anda di sini

Lif jatuh, 17 pelombong maut di China

Advertisement
 Gambar fail 24 Oktober, 2015 menunjukkan pemandangan di sekitar lombong arang batu Pinggang milik Longmay di pinggir Jixi, wilayah Heilongjiang. — Gambar Reuters
SARAT RISIKO: Gambar fail 24 Oktober, 2015 menunjukkan pemandangan di sekitar lombong arang batu Pinggang milik Longmay di pinggir Jixi, wilayah Heilongjiang. — Gambar Reuters

BEIJING: Seramai 17 orang pelombong arang batu di China maut apabila sebuah lif yang digunakan untuk menurunkan pekerja terjatuh ke dalam terowong bawah tanah, lapor media kerajaan, iaitu kemalangan maut terbaharu dalam industri perlombongan arang batu yang terdedah kepada kemalangan di negara itu.

Kemalangan berlaku Khamis lepas apabila kabel yang menyangga sebuah sangkar lombong terbakar, menyebabkan pelantar tersebut terjatuh ke dalam lombong arang batu yang diuruskan oleh kerajaan di wilayah Heilongjiang, timur laut China, menurut agensi berita Xinhua.

Operasi mengeluarkan pelombong yang terperangkap dari runtuhan dilancarkan pada masa itu namun pekerja penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka sehingga kelmarin, dan mendapati semua mereka sudah mati, kata Xinhua.

Lombong Kedua Dongrong di bawah Longmay Mining Holding Group itu beroperasi berhampiran bandar Shuangyashan.

Dua orang tukang kimpal ditahan oleh polis kerana melanggar dengan serius peraturan keselamatan, menurut Xinhua.

Pengurus lombong turut digantung dari jawatannya, ia memetik kerajaan tempatan sebagai berkata.

China merupakan pengeluar arang batu terbesar di dunia, dan kemalangan maut di lombong biasa berlaku.

Pada Disember lalu, letupan dalam dua buah lombong arang batu berasingan di wilayah Inner Mongolia dan di Heilongjiang mengorbankan sekurang-kurangnya 59 orang, menurut laporan media kerajaan.

Seramai 33 pelombong terkorban dalam satu letupan lombong pada Oktober lalu di perbandaran barat daya Chongqing, dan pada September lalu sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam satu letupan di sebuah lombong di wilayah barat laut Ningxia. — AFP

Advertisement