Anda di sini

Kes bunuh Bill Kayong, mahkamah keluar waran tangkap ke atas ahli kimia

Advertisement

MIRI: Mahkamah Tinggi semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang ahli kimia kerana gagal hadir untuk memberi keterangan dalam perbicaraan empat lelaki termasuk seorang bergelar datuk yang dituduh membunuh Bill Kayong.

Waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Ravinthran N. Paramaguru setelah tidak berpuas hati dengan alasan yang diberi oleh saksi terbabit, Riduan Md Bakhir.

Riduan yang merupakan seorang ahli kimia di Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Kuching merupakan saksi pertama yang seharusnya memberi keterangan pada perbicaraan yang masuk hari keenam pagi semalam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwan Raya (TPR) Mohd Fuad Abdul Aziz selaku ketua pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa Riduan tidak dapat hadir untuk memberi keterangan.

Menurut beliau, saksi hanya memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir kepada pegawai penyiasat (IO) kes, ASP Lee Chee Keat sekitar jam 9.40 malam kelmarin atas alasan tiada tiket penerbangan.

Alasan yang diberikan saksi tidak dapat diterima kerana saksi sepatutnya sudah bersedia memandangkan sapina telah diserahkan kepadanya sejak dua minggu lalu.

Justeru saksi harus hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes esok (hari ini),” tegas Ravinthran.

Pada perbicaraan kes semalam, seramai dua orang lagi saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan iaitu Inspektor Andrew Binjua Jr. dan Sarjan Jifen Sotok.

Inspektor Andrew, 32, yang bertugas sebagai pengawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri merupakan saksi pendakwaan ke-15 dalam kes ini.

Manakala Sarjan Jifen, 58, saksi pendakwaan ke-16 bertugas di Unit Forensit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Sarawak, Kuching.

Dalam keterangannya, Andrew memberitahu pada 7 Julai 2016, dia bersama beberapa anggota telah membawa tertuduh pertama, Mohd Fitri Pauzi ke Hospital Miri untuk diambil sampel darah.

Setiba di hospital, saya nampak Dr Jasmine Anthony telah mengambil sampel darah dan kuku Mohd Fitri.

Selepas itu, Dr Jasmine ada menyerahkan satu sampul surat dan sehelai kertas kepada saya untuk dibawa balik dan diserahkan kepada IO kes,” katanya.

Ketika diperiksa balas peguam bela Ranbir Singh yang mewakili Mohd Fitri, saksi memberitahu tiada sebarang masalah timbul sepanjang proses pengambilan sampel dadah dan kuku dilakukan di Hospital Miri.

Kepada satu soalan lain, Andrew memberitahu bahawa dia kurang pasti sama ada sampel darah dan kuku itu dimeterai atau sebaliknya kerana dia hanya menerima satu serahan sampul surat.

Sementara Jifen dalam keterangannya memberitahu pada 8 Julai 2016, sebaik menerima arahan daripada IO kes, dia telah melakukan proses ‘swabbing’ (mengesat) di bahagian stering, brek tangan dan gear kereta berkenaan.

Setelah itu, dia melakukan pemeriksaan di dalam kereta dan menjumpai sehelai rambut di tempat duduk penumbang hadapan.

Setelah semuanya selesai, sampel ‘swabbing’ kemudian dibungkus dan diserahkan kepada ASP Lee,” katanya.

Ketika ditanya lanjut oleh Mohd Fuad sama ada saksi turut melakukan proses serupa ke atas barang kes (eksibit) lain, beliau memberitahu ada melakkukan ‘swabbing’ ke atas selaras senapang patah dan beberapa butir peluru yang diserahkan kepadanya.

Ketika diperiksa balas oleh Ranbir, Jifen mengesahkan ASP Lee ada menggunakan sarung tangan ketika menyerahkan barang kes kepadanya untuk diperiksa.

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Ranbir bahawa sampel DNA boleh tercemar jika disentuh oleh seseorang yang tidak menggunakan sarung tangan.

Saksi menjawab sedemikian setelah ditunjukkan sekeping gambar eksibit yang memaparkan seorang lelaki berpakaian jingga memegang beg pinggang tanpa memakai sarung tangan.

Semasa disoal balas oleh Mohd Fuad, saksi menjelaskan sampel DNA pada barang kes memang boleh tercemar jika disentuh tanpa menggunakan sarung tangan namun sampel DNA yang asal masih tetap wujud pada eksibit berkenaan.

Dalam kes itu, Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Manakala Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook, Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Keempat-empat tertuduh masing-masing diwakili peguam bela Ranbir Singh, Orlando Chua, Arthur Lee dan David Kuok.

Manakala pendakwaan dilakukan TPR Mohd Fuad, Hayda Farizal Abu Hassan dan Wan Mohamad I’zzat Wan Abdullah.

Hadir sama peguam bela Jonathan Bedindang selaku peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Perbicaraan kes akan bersambung hari ini.

Advertisement