Anda di sini

Beri kerjasama kepada KPDNKK atasi isu minyak

Advertisement

Salah satu punca minyak peket kurang ialah sikap tamak

KOTA KINABALU: Masya-rakat selaku pengguna disaran supaya memberikan kerjasama kepada Kemen-terian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam mengatasi masalah kekurangan bekalan minyak di negeri ini.

Presiden Persatuan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) James Bagah berkata, usaha itu penting berikutan isu kekurangan bekalan minyak peket terus berlaku yang mana salah satunya berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang tamak, dengan membeli dalam kuantiti yang banyak.

Kekurangan bekalan minyak masak peket di pasaran adalah masalah bersama dan bukannya masalah kerajaan semata-mata.

Kerajaan sudah membuat yang terbaik untuk menangani masalah ini melalui berbagai cara termasuk menambahkan kuota pengeluaran, menghadkan pembelian peket setiap seorang dan membantu mengendalikan penjualan minyak masak di setiap kawasan.

Namun, masalah ini masih berterusan kerana masih ada segelintir pengguna yang tamak mahu membuat pembelian dalam kuantiti yang banyak,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini, kelmarin.

Menurut James pihaknya menjangkakan situasi kekurangan minyak masak peket di negeri ini akan beransur reda dalam sebulan dua ini dengan adanya penambahan kuota pengeluaran yang diluluskan oleh KPDNKK.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak penguatkuasa KPDNKK untuk terus mempergiat usaha memantau setiap premis bagi membendung masalah peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga barangan kawalan ini.

Semua pihak khususnya masyarakat sebagai pengguna juga perlu bertimbang rasa kepada satu sama lain agar isu mendapatkan bahan keperluan asas ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin.

Sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga minyak yang merupakan barang kawalan khususnya di luar bandar, sila laporkan kepada pihak yang berkenaan melalui saluran yang betul,” katanya.

Berhubung isu itu juga, James berkata CAPS dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna (KPMHEP) turut giat melaksanakan pelbagai program kesedaran di setiap kawasan bandar dan luar bandar bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai hak dan peranan mereka selaku pengguna.

Advertisement