Anda di sini

13 penguat kuasa didakwa lindungi kegiatan haram pusat urut direman seminggu

Advertisement
 Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa seramai 13 pegawai penguat kuasa yang terdiri daripada lapan anggota polis, empat anggota Bomba dan Penyelamat serta seorang penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) bagi mendapatkan perintah reman atas tuduhan rasuah di Mahkamah Majistret Shah Alam semalam. — Gambar Bernama
REMAN: Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa seramai 13 pegawai penguat kuasa yang terdiri daripada lapan anggota polis, empat anggota Bomba dan Penyelamat serta seorang penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) bagi mendapatkan perintah reman atas tuduhan rasuah di Mahkamah Majistret Shah Alam semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Tiga belas anggota penguat kuasa termasuk dua inspektor polis direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rasuah bagi tujuan melindungi aktiviti haram premis urut di Selangor.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin terhadap dua Inspektor yang juga ketua balai polis, enam anggota polis, empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta seorang pegawai Majlis Perbandaran Kajang.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, kesemua suspek berumur 26 hingga 53 tahun tiba di mahkamah kira-kira jam 10.05 pagi dengan menaiki bas milik SPRM dan memakai pakaian lokap berwarna oren serta kemeja T.

Kesemua mereka ditahan SPRM Selangor pada jam 9 pagi kelmarin di sekitar Kajang, Sungai Buloh dan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, dalam satu operasi khas.

Menurut sumber SPRM, hasil maklumat dan risikan hampir tiga bulan lalu oleh SPRM mendapati kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah RM300 hingga RM10,00 secara bulanan daripada pengusaha premis urut yang beroperasi secara haram di dua daerah di Selangor.

Mereka didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menerima rasuah bagi melindungi premis yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen, menggaji pendatang tanpa izin dan melanggar aspek keselamatan kebakaran. — Bernama

Advertisement