Anda di sini

Setiausaha Dewan Perhimpunan Cina Perak didakwa cederakan bekas teman wanita

Advertisement

IPOH: Setiausaha Dewan Perhimpunan Cina Perak didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan mencederakan dan melakukan ugutan jenayah ke atas bekas teman wanitanya Disember tahun lepas.

Tertuduh Voon Chee Wai, 48, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hanum Mohamad Sah.

Mengikut kertas pertuduhan, Voon didakwa sengaja menyebabkan cedera kepada Chang Yoke Yee, 42, di dalam sebuah bilik Hotel Kinta Riverfront di sini, pada 18 Dis kira-kira jam 2.45 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Voon didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Chang dengan menarik tangan beliau dan memaksa masuk ke dalam lif sehingga mendatangkan ketakutan kepada wanita itu di lif hotel berkenaan kira-kira 3.40 pagi pada hari yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Siti Hanum membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 11 April.

Mahkamah turut memberi amaran kepada tertuduh supaya tidak mengganggu seorang saksi yang juga pengadu.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sally Chay Mei Ling manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Gill. — Bernama

Advertisement