Anda di sini

Peniaga kedai runcit didakwa jual rokok seludup bernilai RM805

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki 80 peket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM805.

Wan Abdul Basitt Wan Awang, 26, didakwa melakukan kesalahan itu di depan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza), Gong Badak pada jam 10.40 pagi, 9 Dis 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah seksyen 135(1)(iii)(aa) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum 20 kali ganda nilai duti barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac bagi sebutan semula kes.

Perdakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Mohd Redzuan Hamdan.

Sementara itu dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang peniaga kecil-kecilan didenda RM600 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM45 pada April tahun lalu.

Ahmad Zikri Che Ali, 36, didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira 3 petang di Jalan Pantai Batu Buruk pada 11 April 2016 mengikut Seksyen 135 (1)(d) akta sama.

Tertuduh membayar denda berkenaan. — Bernama

Advertisement