Anda di sini

Kedegilan Park kejutkan ramai pihak

Advertisement

Kenyataan yang dibuat selepas keluar dari Rumah Biru tetap tegakkan ‘kebenaran’

 Park bertegur sapa dengan para penyokongnya sejurus tiba di kediaman peribadinya di Seoul, semalam. — Gambar Reuters
TERSENYUM: Park bertegur sapa dengan para penyokongnya sejurus tiba di kediaman peribadinya di Seoul, semalam. — Gambar Reuters

SEOUL: Pemimpin Korea Selatan yang digulingkan Park Geun-hye dikritik semalam ekoran ikrar penafian bahawa kebenaran mengenai pendakwaannya akan didedahkan, dengan parti utama pembangkang mendesak pihak pendakwa raya agar menyegerakan siasatan ke atas beliau.

Mahkamah Perlembagaan memecat Park Jumaat lepas ketika menerima undi pendakwaan Parlimen melibatkan skandal menjaja pengaruh yang telah menggegarkan golongan elit politik dan perniagaan.

Park menolak sebarang salah laku.

Park meninggalkan istana presiden Rumah Biru di Seoul petang kelmarin untuk kembali ke rumah peribadinya di bandar sebagai seorang rakyat biasa, di mana kekebalan presiden yang melindunginya daripada pendakwaan telah dilucutkan.

Malah pada masa beliau pergi, beliau enggan menyatakan apa-apa tentang rasa bersalah di hadapan rakyat, namun menyatakan sesuatu tentang kebenaran dan tidak mengumumkan apa-apa kecuali sikap degilnya,” Choo Mi-ae, ketua untuk parti pembangkang paling besar, Parti Demokratik, memberitahu satu mesyuarat semalam.

Choo menyatakan Park harus dilayan sebagai seorang suspek dan bekerjasama dengan mana-mana siasatan.

Pihak pendakwa raya harus mencari kebenaran dan menghukum mana-mana jenayah melalui siasatan yang pantas dan menyeluruh,” menurut Choo.

Park tidak memberikan komen secara umum sejak keputusan mahkamah, namun seorang jurucakap telah membacakan keterangan daripada beliau selepas beliau kembali ke rumahnya di daerah terkenal Gangnam, di mana beliau menyuarakan perasaan kesal kerana tidak mampu menamatkan penggalnya.

Ia akan mengambil masa, namun saya percaya kebenaran pasti akan terbongkar juga,” menurut Park melalui jurucakapnya.

Ramai rakyat Korea Selatan mentafsirkan kenyataan itu sebagai satu bantahan terhadap keputusan Mahkamah Perlembagaan.

Perkara ini amat mengejutkan dan dikesali,” menurut Yoo Seong-min, calon presiden dari parti sayap kanan kecil Parti Bareun.

Membantah keputusan mahkamah perlembagaan adalah pengkhianatan kepada rakyat dan perlembagaan.”

Pendakwaan menimbulkan perpecahan dalam masyarakat di mana politik masih lagi dibayangi permusuhan Perang Dingin.

Lawan Park yang kebanyakannya liberal berkumpul untuk rapat umum setiap hujung minggu selama beberapa bulan, sementara penyokong konservatifnya turut mengadakan tunjuk perasaan berhampiran.

Ribuan penyokong Park berkumpul di jalan raya di luar kediamannya semalam, kebanyakan mereka memegang gambarnya atau bendera negara.

Pihak polis turut meronda di kawasan tersebut.

Penunjuk perasaan menuduh Park bersekongkol dengan rakan karibnya Choi Soon-sil bagi mendesak syarikat perniagaan besar agar menyumbang kepada beberapa yayasan yang ditubuhkan bagi membantu polisinya dan membolehkan beliau mendapatkan pengaruh dalam hal ehwal negara.

Choi turut menafikan sebarang salah laku, malah Park enggan menjawab soalan pihak pendakwaan.

Park, 65, merupakan pemimpin pertama dilantik secara demokratik di Korea Selatan yang dipecat daripada jawatannya.

Pilihan raya presiden akan diadakan pada 9 Mei depan dan Moon Jae-in dari Parti Demokratik merupakan calon pilihan dalam tinjauan pendapat. — Reuters

Advertisement