Anda di sini

Halang tugas anggota polis, penarik kereta didenda RM1,800

Advertisement

KUALA LUMPUR: Gara-gara menghalang anggota polis daripada menjalankan tugasnya, seorang penarik kereta didenda RM1,800 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap James Oh Loy Heng, 33, selepas dia mengaku bersalah menghalang Lans Koperal M.Suman, 29, daripada menjalankan tugasnya melakukan pemeriksaan.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di susur keluar laluan di Batu 5, Jalan Cheras di sini pada 5.40 petang, 10 Mac lepas mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, ketika anggota polis berkenaan memeriksa kereta tertuduh yang berada dalam keadaan mencurigakan, lelaki itu bertindak agresif dengan menolak anggota polis itu sehingga jatuh dan mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadapnya.

Semasa anggota polis itu mahu menahan tertuduh, berlaku pergelutan dan dia cuba melarikan diri tetapi dapat ditahan.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda minimum manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh. — Bernama

Advertisement