Anda di sini

Anyaman ‘salingkawang’ kraf unik Sabah

Advertisement
__alt__

HENDAK tahu apa istimewanya produk anyaman Batu Lunguyan?

Ia disebabkan ada ‘salingkawang’,” kata gadis berwajah kulit putih ini kepada penulis yang ketika itu sedang asyik membelek produknya di atas meja.

Memang menarik, keanekaragaman bentuk dan warna ceria kraf kampung ini yang dijadikan kepelbagaian beg moden, dompet, kotak tisu dan bakul tentunya menggamit perhatian sesiapa sahaja.

Dengan kehalusan anyaman sangat teliti pastinya ada menyangka hasilan kraf ini adalah produk anyaman daun mengkuang yang popular di Semenanjung Malaysia.

Walhal ia sebenarnya diperbuat daripada buluh sekali gus melenyapkan persepsi awal penulis bahawa kraf buluh hanyalah sinonim dengan barangan seperti tabung, perabot mahupun dinding rumah.

Keunikan inilah yang memberi nilai tambah eksklusif pada produk negeri Sabah, selain elemen ‘salingkawang’ menjadi identiti warisan serta nadi utama membezakannya dengan produk anyaman daun mengkuang.

Salingkawang adalah sejenis pokok paku pakis yang digunakan oleh pengusaha kraf buluh di kampung ini untuk mengikat sesuatu produk kraf.

Caranya, adalah menggunakan urat kayu berkenaan sebagai tali pengikat.

Sebenarnya boleh gunakan rotan tetapi ‘salingkawang’ menjadi pilihan sejak nenek moyang kami lagi,” kata S.Narty Raitom, 32, kepada Bernama.

Maka tidak menghairankanlah apabila nama ‘Batu Lunguyan’ di daerah Keningau terkenal dengan ‘anyaman buluh salingkawangnya’ walaupun lokasi kampung ini sangat jauh dari bandar Kota Kinabalu.

Mengambil masa lebih tiga jam dari bandar berkenaan ke kampung yang majoriti penduduknya suku kaum Dusun Minokok selain perlu menempuhi perjalanan berliku ke bengkel S. Narty.

Namun semuanya berbaloi dan rasa letih hilang begitu sahaja sebaik mata melihat kepelbagaian produk ibu kepada tiga orang anak ini yang juga pemilik perusahaan kraf Magic Bamboo.

Malah boleh dikatakan kebanyakan produk krafnya sudah dibeli oleh ahli rombongan yang mengikuti lawatan ke kampung berkenaan baru-baru ini anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) bersempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2017.

TERPAUT HATI

Bagaikan ‘pisang goreng panas’, ada yang terpaksa menempah dengan S. Narty kerana produk diinginkannya sudah dibeli rakan mereka dan memesan untuk dibawa nanti semasa HKK yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay pada 22 Februari sehingga 6 Mac ini.

Kebanyakannya terpaut hati dengan serlahan motif tradisional suku kaum Dusun dan Murut serta gabungan bahan moden antaranya kulit, PVC dan fabrik yang dijadikan beg kepit, dompet, beg tangan, kotak tisu dan banyak lagi.

Ini sahaja yang tinggal kerana kebanyakannya saya sudah bawa ke Kuala Lumpur untuk dijual di HKK,” kata S.Narty dari suku kaum Dusun Minokok.

Sambil tersenyum melihat gelagat rombongan yang gembira memiliki produknya, wanita ini berkata keunikan salingkawang sebagai tali pengikat anyaman banyak menambat perhatian pelancong dalam dan luar negara.

Ini kerana, ia bukanlah diikat dengan lilitan biasa tetapi menggunakan ‘teknik ikatan lipan’ iaitu membentuk imej belakang haiwan binatang berbisa berkenaan pada setiap produk krafnya.

Teknik ikatan lipan salingkawang ini biasanya akan diikat di sekeliling anyaman kelarai buluh yang dijadikan barangan kraf pada proses akhir bertujuan menguatkan lagi anyaman berkenaan supaya tidak mudah terlerai.

Hanya di Keningau sahaja yang mengusahakan produk buluh menggunakan urat kayu salingkawang dalam produk mereka yang tempat lain tiada.

Pokok ini banyak di kampung kami dan tumbuh di kawasan lembap seperti tepi sungai. 

Tetapi keluarga kami ada menanam pokok salingkawang bagi mudah untuk mendapatkannya.

Lebih kurang satu ekar tanaman pokok ini di kebun kami,” katanya yang mempelajari kemahiran anyaman daripada ibunya. 

Biarpun kedengaran agak mudah kerana bahan mentah berada di sekitar kawasan rumah tetapi proses yang perlu dilalui oleh S. Narty untuk mengambil urat berkenaan teramatlah rumit.

Malah, sangat membahayakan, memerlukan kesabaran tinggi dan ada pantang larangnya.

Ini kerana urat pokok ini yang dijadikan sebagai tali pengikat kraf anyaman buluh berada di dalam batang kayu salingkawang.

Melibatkan beberapa peringkat lapisan semasa pengasingan kulit serta isi mengikut alur di batang kayu berkenaan, hanya pisau kecil dibenarkan untuk digunakan bagi mendapatkan akarnya.

Proses ini perlu dilakukan secara berhati-hati kerana sedikit kesilapan ketika mengupas batang kayu boleh menyebabkan akarnya terputus dan tidak lagi sesuai digunakan.

Bagaimanapun, proses mengambil urat ini tidak dibenarkan ketika bulan penuh kerana dikhuatiri ia akan mudah reput dan putus semasa menggunakannya.

Satu batang kayu salingkawang ada satu urat dan warnanya hitam kalau matang dan bentuknya panjang.

Pemilihan urat matang penting kerana ia akan mencantikkan anyaman warisan ini,” katanya.

MOTIF TRADISIONAL

Urat yang terputus ketika proses mengambilnya masih boleh digunakan tetapi ia akan mencacatkan teknik ikatan salingkawang pada sesuatu produk.

Selalunya urat kayu terputus tidak akan kami gunakan bagi menjaga kualiti.

Ketika proses ini, banyak kali jari saya terluka atau kulit dimasuki duri.

Tetapi sekarang tidak lagi kerana banyak kali buat kita pun semakin mahir,” katanya.

Disebabkan kerumitan itu kerana hampir sebahagian besar produknya dibuat tangan maka tidak hairanlah anyaman buluh salingkawang ini sangat cantik dan menarik.

Itu belum lagi termasuk keunikan motif tradisional gabungan suku kaum Murut dan Dusun dalam pembentukan kelarai buluh yang digunakan untuk setiap produk Magic Bamboo.

Kelarai adalah motif daripada keratan buluh dipotong nipis mengikut saiz tertentu yang dianyam oleh S.Narty bersama ibu serta dibantu lima rakannya.

Bagi menjamin kualiti produk, buluh Poring menjadi pilihan beliau kerana tahan lama, lasak, sesuai untuk dianyam pelbagai motif dan tidak kasar berbanding buluh lain.

Saya boleh menyiapkan lebih 20 beg sebulan.

Kebanyakan motif yang digunakan adalah berlian atau nurugan dalam bahasa Dusun, mata nanas, kacang tanah, percikan bunga api, mata lalat dan corak bintang.

Saya memang menggunakan motif tradisional dan setiap corak itu menterjemahkan asal usul dan kisah rakyat turun temurun.

Paling popular dalam kalangan pembeli adalah corak nurugan (berlian).

Biasalah wanita dengan berlian tidak dapat dipisahkan manakala warna hitam putih sangat disukai kerana ia menggunakan bahan asli.

Warna hitam diperoleh melalui proses melayur keratan buluh selama dua jam,” katanya.

Penekanan kualiti serta tidak ketinggalan menampilkan rekaan produk lebih dinamik, kontemporari adalah rahsia kejayaan wanita ini mengurus Magic Bamboo, perusahaan kecil yang diwarisi daripada ibunya.

Beliau kini mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM2,000 sehingga RM5,000 sebulan hasil jualan melalui medium laman sosial, Facebook dan Instagram-Magic Bamboo — serta mengikuti mana-mana promosi kraf.

Kraftangan Malaysia banyak membantu dalam bentuk rekaan, motif, gabungan moden dan tradisonal untuk diaplikasikan pada produk kami.

Sebelum menyertai Kraftangan Malaysia, penjualan barangan hanya di sekitar kampung.

Sekarang ada ditempah khas Kraftangan Malaysia atau kami menyertai promosi kraf seperti HKK 2017,” katanya yang turut mendapat bantuan bengkel dan dua jenis mesin jahit daripada Kraftangan Malaysia.

Bagi yang berminat mendapatkan produk istimewa anyaman buluh Kampung Batu Lunguyan, tidak perlu bersusah payah ke sana kerana mereka akan ‘berkampung’ di gerai 26, khemah A, Kompleks Kraf Kuala Lumpur sempena HKK ini. — Bernama

__alt__
  • oleh
  • Advertisement