Anda di sini

TVET: Kolej Vokasional Miri berharap dipilih Petronas sebagai ‘anak angkat’

Advertisement
 Choo dan Bruen (duduk, barisan hadapan) bergambar bersama sebahagian daripada pelajar yang menghadiri program tersebut.
KERJASAMA: Choo dan Bruen (duduk, barisan hadapan) bergambar bersama sebahagian daripada pelajar yang menghadiri program tersebut.

KOLEJ Vokasional Miri berharap ia akan dipilih oleh Petronas Carigali Sarawak (SKO) sebagai ‘anak angkat’ bagi institusi pengajian, bagi memastikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini mencapai kecemerlangannya dan setanding dengan negara-negara maju.

 Pengarah Kolej Vokasional Miri, Choo Siak Lan berkata, langkah itu juga merupakan hasrat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam menjadikan pendidikan TVET negara dapat bekerjasama dengan industri besar demi mentransformasikan pendidikan TVET di Malaysia dan berupaya bersaing dengan negara maju yang lain.

 “Dengan adanya hubungan tersebut, diharapkan pendidikan TVET di negara ini lebih maju dan dapat bersaing dengan pendidikan TVET di negara-negara luar,” katanya semasa berucap pada majlis penutupan Program ‘Ceramah Melaksanakan dan Mempratikan Amalan-Amalan Keselamatan Bengkel/Tempat Kerja’, di Miri, baru-baru ini.

 Program ceramah tersebut yang diadakan dengan kerjasama Kolej Vokasional Miri dan SKO, telah berlangsung selama sehari di pejabat SKO Miri.

 Sementara itu, Pengurus Jabatan Kesihatan Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) SKO, Bruen Scott Kinyang turut berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan menjadi program tahunan antara Kolej Vokasional Miri bersama dengan pihak Petronas Carigali Miri di Sarawak.

 Seramai 227 pelajar Tahun 1 Sijil Vokasional Miri telah mengambil bahagian dalam program tersebut yang turut dijayakan oleh 23 pensyarah kolej terbabit.

 Dalam pada itu, Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan (OSH), Kolej Vokasional Miri, Mohd Shahrol Hafiz Kamaruddin, memberitahu objektif utama mereka mengadakan program seperti itu ialah untuk melengkapkan kompetensi pelajar berkenaan dengan Sub Modul Keselamatan Industri bagi memenuhi kehendak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Malaysian Qualification Agency (MQA).

 “Selain itu ia juga bertujuan untuk menjalinkan kolabotif antara pihak korporat atau penggiat industri negara dengan pihak institusi pendidikan terutamanya dalam memartabatkan Pendidikan TVET negara,” katanya lagi.

 Selain itu, menurut beliau, matlamat program juga adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar TVET mengenai bahaya di tempat kerja dan kepentingan keselamatan sebelum, semasa dan selepas melaksanakan pekerjaan.

  • oleh
  • Advertisement