Anda di sini

Calon liberal Selatan tonjol diri

Advertisement
 Moon bercakap semasa sidang akhbar di Seoul, semalam. — Gambar AFP
PELUANG TERBUKA LUAS: Moon bercakap semasa sidang akhbar di Seoul, semalam. — Gambar AFP

Moon Jae-in ikrar ‘sejarah baharu’ menjelang pilihan raya presiden

SEOUL: Calon pilihan utama untuk menggantikan presiden yang didakwa oleh Parlimen Korea Selatan, Park Geun-hye, semalam menyeru perpaduan ketika negara itu menulis ‘sejarah baharu’, manakala ratusan berkumpul di luar rumah pemimpin yang digulingkan untuk menunjukkan sokongan kepadanya.

Mahkamah Perlembagaan pada Jumaat lepas mengesahkan undian parlimen untuk mendakwa Park, sekali gus menyingkirkannya dari jawatan berhubung skandal rasuah yang membabitkan rakan karibnya.

Pilihan raya presiden akan diadakan dalam masa 60 hari selepas keputusan itu dan media tempatan membayangkan 9 Mei tarikh paling sesuai.

Calon yang dijangka menang dengan kelebihan besar adalah bekas pemimpin Parti Demokratik yang liberal, Moon Jae-in, yang menikmati 36 peratus sokongan popular.

Jika kuasa cahaya lilin telah membawa kita sejauh ini, kita sekarang perlu bekerja bersama untuk kemenangan yang mutlak,” kata Moon dalam sidang akhbar semalam, yang merujuk kepada perhimpunan cahaya lilin yang diadakan setiap minggu untuk menuntut penggulingan Park.

Korea Selatan akan mencipta sejarah baharu menerusi perubahan rejim.”

Park, yang merupakan presiden pertama yang dipilih secara demokratik di Korea Selatan yang digulingkan dari kuasa, masih terperuk dalam kediaman rasmi presiden Rumah Biru sementara pekerja memperbaiki dan membersihkan kediaman persendiriannya.

Rakaman TV menunjukkan ratusan penyokong Park yang mengibar bendera berhimpun di luar kediamannya di selatan Seoul yang mewah dan laporan menyatakan beliau kemungkinan meninggalkan pejabat presiden pada hari ini (Isnin).

Moon berkata ia adalah ‘tidak berhati perut untuk menendang’ Park keluar dari Rumah Biru pada waktu rumahnya sedang disediakan tetapi memberi amaran tentang cubaan yang mungkin dilakukan untuk memusnahkan atau mengeluarkan dokumen kerajaan sebelum beliau meninggalkannya.

Puluhan ribu penunjuk perasaan anti-Park berarak di jalanan untuk meraikan keputusan mahkamah kelmarin manakala kira-kira 20,000 penunjuk perasaan pro-Park yang marah dan mengibarkan bendera berhimpun tidak jauh dari sana untuk menuntut semakan semula terhadap keputusan itu. — AFP

Advertisement