Anda di sini

BSN tiada rancangan kurangkan pekerja

Advertisement

Keutamaan BSN beri perkhidmatan perbankan, sedia pembiayaan kepada masyarakat

JOHOR BAHRU: Bank Simpanan Nasional (BSN) tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengurangkan jumlah cawangan dan pekerjanya di seluruh negara biarpun berdepan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning berkata apa yang menjadi keutamaan BSN adalah memberi perkhidmatan perbankan dan menyediakan pembiayaan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, BSN akan mengekalkan operasi cawangan dan pekerja sedia ada selain menambah perkhidmatan ejen bank berdaftar di seluruh negara.

Buat masa ini kita tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk mengurangkan cawangan dan pekerja.

Kita mahu menyediakan perkhidmatan perbankan dan pembiayaan kepada masyarakat dan bukannya bergantung kepada keuntungan semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan baharu Cawangan Utama BSN Johor di Jalan Abdullah Ibrahim, di sini semalam.

Perasmian itu dilakukan oleh Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah yang turut mengumumkan nama bangunan itu, Wisma Muafakat.

Mengulas lanjut, Adinan berkata sejak penubuhan pada 1974, BSN kini memiliki 403 cawangan dan lebih 7,200 pekerja di seluruh negara.

Ia juga mempunyai seramai kira-kira 7,000 ejen bank berdaftar dan angka itu dijangka meningkat 500 hingga 1,000 orang lagi termasuk di luar bandar, tahun ini.

Bank itu turut disokong oleh lebih 9.19 juta pendepositnya di seluruh negara dengan jumlah deposit antara RM15 bilion dan RM20 bilion, setakat ini.

Jumlah pendeposit BSN meningkat 50,000 hingga 100,000 orang setahun,  kebanyakannya adalah murid sekolah,” katanya.

Selain itu, mengulas bangunan baharu bernilai RM60 juta berkenaan, Adinan berkata ia memberi keselesaan serta suasana kerja kondusif untuk para pekerja berbanding operasi dengan menyewa bangunan di Wisma Maria, Jalan Ngee Heng di sini, sejak 29 tahun lepas.

Adinan berkata Wisma Muafakat setinggi 10 tingkat yang siap dibina akhir tahun lepas, menyediakan kemudahan seperti pusat latihan, surau, nurseri, gimnasium dan kafeteria. — Bernama

Advertisement