Anda di sini

Park menyendiri di Rumah Biru

Advertisement

Nasib presiden wanita pertama Korea Selatan dalam perhitungan

SEOUL: Tumpuan diberikan kepada Rumah Biru, kediaman presiden di Seoul, semalam manakala warga Korea Selatan menunggu reaksi bekas presiden Park Geun-Hye kepada pendakwaannya oleh Parlimen serta persiapan untuk berpindah ke kediamannya sendiri.

Pihak berkuasa pilihan raya menyuarakan kebimbangan mengenai ketegangan yang semakin meruncing menjelang pilihan raya untuk memilih presiden baharu, manakala rencana editor akhbar menyeru dihentikan tunjuk perasaan jalanan yang masih berlaku.

Pembangkang utama dari Parti Demokratik menggesa Park menerima keputusan mahkamah, dan menuduhnya berkelakuan seakan-akan beliau menolak keputusan yang dibuat sebulat suara lapan hakim mahkamah.

Laporan berita menyebut Park menonton televisyen seorang diri dalam bilik presiden peribadinya kelmarin ketika mahkamah tertinggi negara mengumumkan pemecatannya serta-merta.

Park yang tidak percaya segera menelefon pemban-tunya untuk mengesahkan keputusan itu, kata akhbar harian Chosun Ilbo.

Pembantunya memberitahu akhbar tersebut, beliau tidak ada rancangan segera untuk mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan mahkamah atau tindakannya selepas ini.

“Presiden dipercayai terkejut dengan keputusan itu. Beliau kelihatan sugul,” seorang pembantu tidak dikenali dipetik sebagai berkata.

“Beliau mahu bersendirian buat sementara waktu,” tambahnya.

Park akan meninggalkan Rumah Biru hanya selepas rumah peribadinya di selatan Seoul yang mewah selesai diperbaiki dan dibersihkan untuk menampungnya dan pasukan keselamatannya.

Rakaman TV menunjukkan barang dipunggah dari trak kecil di luar rumah dua tingkat itu.

Polis berkata lebih 200 orang anggota dikerahkan ke sekeliling kawasan sekitar.

Park wajib keluar dari istana presiden, di mana beliau sudah meringkuk selama lebih 90 hari selepas Dewan Negara mengundi untuk mendakwanya pada Oktober lalu.

Keputusan mahkamah untuk mengesahkan pendakwaannya segera melucutkan semua kuasa dan keistimewaannya, kecuali bagi keselamatannya.

Park didapati melanggar undang-undang apabila beliau membiarkan rakannya Choi Soon-Sil untuk campur tangan dalam hal ehwal kerajaan, dan melanggar peraturan mengenai kegiatan penjawat awam.

Keputusan itu juga melenyapkan kekebalan presiden daripada pendakwaan jenayah.

Park sudah dinamakan sebagai suspek jenayah, dituduh rasuah kerana memberi bantuan dasar kepada syarikat yang menguntungkan Choi.

Individu ketiga meninggal dunia di hospital semalam selepas tidak sedar diri sehari sebelum itu dalam perte-lingkahan antara penyokong Park dengan polis rusuhan, berhampiran Mahkamah Perlembagaan yang menge-sahkan pendakwaan Park.

Agensi berita Yonhap berkata mangsa ketiga adalah seorang lelaki berusia 74 tahun yang rebah sewaktu demonstrasi berhampiran Mahkamah Perlembagaan.

Seorang penunjuk perasaan mati sehari sebelum itu setelah dihempap di kepala oleh sebuah alat pembesar suara yang terjatuh dari atas sebuah bas polis apabila seorang penunjuk perasaan merampas kenderaan tersebut dan memandunya ke arah sekatan polis.

Polis menangkap penunjuk perasaan berusia 60 tahun itu dan beberapa orang lagi kerana berkelakuan ganas.

Penyokong Park menyerang jurugambar dan anggota kru TV, menyebabkan mereka mengalami luka dan lebam.

Polis mengeluarkan kenyataan dengan janji untuk menjejaki dan menghukum penunjuk perasaan yang liar manakala penyokong Park merancang demonstrasi baharu berhampiran Mahkamah Perlembagaan dan di pusat bandar raya pada petang semalam. — AFP  

Advertisement