Anda di sini

Tiga anggota polis didakwa meminta dan terima rasuah

Advertisement

KOTA KINABALU: Tiga anggota polis antaranya seorang wanita berhadapan dengan hukuman penjara apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, atas pertuduhan menerima dan meminta rasuah.

Hakim Abu Bakar Manat menetapkan pada 26 April tahun ini sebagai sebutan semula kes terhadap Elly Boniface Siew@ Siu Tusuk, 36, Mohd Faiz Mohd Yusof, 32, dan Liza Ambau, 39, selepas mengaku tidak bersalah.

Elly Boniface sebagai seorang koperal polis di Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah Penampang, didakwa meminta suapan wang tunai sebanyak RM6,000 daripada Wong Kian Shung.

Jumlah itu diminta sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, terhadap Dahlia Andreas yang dikatakan positif dadah semasa ujian saringan awal air kencing.

Kesalahan itu dilakukan pada 8 April tahun lalu antara jam 11 malam hingga jam 12 tengah malam, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Penampang, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan, boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Mohd Faiz didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 17 (1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Kanun Keseksaan, kerana menerima suapan.

Pertama, pada 9 Februari tahun lalu jam 10 malam, di kawasan parkir berhampiran Restoran Nikmat, pekan Donggongon, di Penampang, tertuduh menerima wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Zaleha Brahim agar tidak mengambil tindakan terhadap Rinciah Labih yang dikatakan positif dadah, semasa ujian saringan air kencing.

Kedua, pada 10 Februari tahun lalu antara jam 12 tengah hari hingga jam 7 malam, di tempat sama, tertuduh menerima RM2,000 daripada Zaleha, bagi tujuan sama.

Sekiranya disabitkan bersalah, penjara sehingga tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau denda RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Ketiga, Mohd Faiz didakwa mengikut Seksyen 16 (1) (b) Akta SPRM 2009, kerana  meminta wang tunai sebanyak RM6,000 daripada Wong, agar tidak mengambil tindakan terhadap Dahlia.

Kesalahan itu dilakukan pada 8 April tahun lalu jam 11 malam hingga jam 12 tengah malam, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Penampang, di sini.

Liza sebagai koperal polis juga didakwa atas pertuduhan sama, meminta wang sebanyak RM3,000 daripada Wong bagi tujuan sama, pada hari dan di tempat sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip berkata, kesalahan yang dilakukan tidak dibenarkan diikat jamin, bagaimanapun ia mengikut budi bicara mahkamah.

Sekiranya dibenarkan, beliau mencadangkan ketiga-tiga tertuduh diberikan ikat jamin antara RM10,000 hingga RM15,000 dibayar penuh dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Luke Ressa Balang mewakili ketiga-tiga tertuduh berkata, jumlah yang ditawarkan sangat tinggi dan memohon dikurangkan.

Menurutnya, Elly Boniface bekerja sebagai detektif di Jabatan Narkotik di Penampang dan isterinya seorang guru, mempunyai seorang anak berusia setahun lebih.

“Tertuduh sudah berkhidmat selama 17 tahun dan bertanggungjawab terhadap empat ahli keluarganya,” katanya dan menambah, anak guamnya membantu dalam banyak kes narkotik dan kini masih berkhidmat.

Manakala, Mohd Faiz sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Narkotik, mempunyai seorang isteri yang bekerja sebagai pendaftar Mahkamah Syariah dan perlu menanggung seorang anak berusia setahun tiga bulan.

“Tertuduh berkhidmat enam tahun dan bertanggungjawab menjaga ibu dan dua adiknya,” katanya.

Tambahnya, Liza yang sudah berkhidmat selama 17 tahun, mempunyai empat anak yang berusia antara tujuh tahun hingga 15 tahun dan suaminya berkhidmat di Jabatan Bomba.

Abu Bakar membenarkan Elly Boniface dan Liza diberikan ikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM5,000 yang dicagarkan seorang penjamin tempatan.

Sementara itu, Mohd Faiz diberikan ikat jamin sebanyak RM15,000 deposit RM5,000 yang dicagarkan seorang penjamin tempatan, untuk ketiga-tiga pertuduhan.

Mahkamah juga memerintahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah, sehingga kes selesai.

Advertisement