Anda di sini

Kes Bill Kayong, bicara ditangguh ke Isnin depan

Advertisement

MIRI: Perbicaraan kes empat lelaki termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dituduh membunuh dan bersubahat melakukan pembunuhan ke atas pemimpin PKR Miri, Bill Kayong yang masuk hari ke empat semalam terpaksa ditangguhkan ke Isnin depan.

Manakala, keempat-empat tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu perbicaraan kes disambung semula.

Keputusan itu dibuat Hakim Ravinthran N.Paramaguru setelah mendapati peguam bela David Kuok yang mewakili tertuduh ketiga iaitu Chin Wui Chung dalam kes ini tidak hadir kerana urusan penting di Sibu.

Katanya, dalam perbicaraan satu kes jenayah serius terutama yang hanya memperuntukkan satu bentuk hukuman iaitu mati, seseorang tertuduh harus dibicarakan dengan adil serta diwakili oleh peguam belanya sendiri dan bukan oleh peguam bela yang diwakilkan.

Tambahan, katanya, tiada sebarang peruntukan dalam Kanun Prosedur Jenayah yang membolehkan situasi ini berlaku di dalam sesuatu perbicaraan membabitkan kes jenayah serius.

“Dalam perbicaraan kes jenayah yang membabitkan tertuduh lebih daripada seorang, setiap tertuduh harus diwakili oleh seorang peguam bela.

“Tertuduh juga mesti diwakili setiap kali barang kes dikemukakan untuk diterima pakai sebagai bahan bukti di mahkamah,” tegasnya sambil menambah perbicaraan yang adil penting kerana ia mempertaruhkan nyawa tertuduh.

Terdahulu sebelum prosiding bermula, peguam bela Arthur Lee yang mewakili tertuduh kedua, Lie Chang Loon memberitahu mahkamah bahawa dia akan mewakili Chin dalam perbicaraan itu memandangkan David tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan penting di Sibu.

Manakala pihak pendakwaan yang dibarisi Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fuad Abdul Aziz, Hayda Farizal dan Wan Mohamad I’zzat Wan Ibrahim telah bersedia memanggil dua orang saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.

Dalam kes itu, Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Manakala Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook, Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Perbicaraan akan bersambung Isnin depan dengan empat orang saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Advertisement