Anda di sini

11 belia Limbang berpotensi untuk sukan tarik kalat

Advertisement
 Sufian (berdiri, lapan kiri), Naim (tujuh kiri) bergambar bersama para peserta program.
SUKAN UNTUK BELIA: Sufian (berdiri, lapan kiri), Naim (tujuh kiri) bergambar bersama para peserta program.

SASARAN mencari bakat-bakat belia untuk diketengahkan dalam sukan tarik kalat tercapai melalui penganjuran Program Sukan Untuk Belia anjuran Pergerakan Pemuda Bukit Kota di Kampung Patiambun, Limbang baru-baru ini.

Ketua Pemuda PBB Bukit Kota yang juga Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat berkata, program itu diadakan bertujuan untuk mencari bakat-bakat baharu dalam kalangan anak-anak muda dalam sukan tarik kalat sejajar dengan penubuhan Persatuan Tarik Kalat Bahagian Limbang kelak.

“Pada program ini kita berjaya mengenal pasti 11 belia yang berbakat dalam sukan tarik kalat untuk diserap dalam Persatuan Tarik Kalat Bahagian Limbang menerusi acara Kuat Badang dan Tarik Kalat,” katanya.

Persatuan Tarik Tali berpusat di Limbang ditubuhkan dalam usaha mengangkat martabat sukan tarik kalat ke peringkat lebih tinggi.

Persatuan di bawah naungan Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti, Dr Abdul Rahman Ismail itu mampu menjadikan tarik kalat se-Borneo sebagai satu lagi ikon Limbang kerana mendapat penyertaan menggalakkan dari wilayah Kepulauan Borneo membabitkan Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei Darussalam.

Sufian berkata lagi, dengan adanya program itu ia akan dapat menjadikan golongan belia lebih aktif dalam mengamalkan budaya bersukan.

“Kita ingin mengajak golongan belia aktif dan bergerak cergas membabitkan diri dalam bidang sukan yang digemari,” ujar beliau.

Katanya, sukan dapat menjalin silaturahim antara penggemar sukan serta dapat menyatupadukan mereka yang menyertai sukan.

Turut sama ialah Ketua Kampung Patiambun Naim@Ahmad Mail dan jawatankuasa Pergerakan Pemuda PBB Bukit Kota.

 Para peserta pertandingan tarik kalat menarik tali sekuat hati.
SEKUAT TENAGA: Para peserta pertandingan tarik kalat menarik tali sekuat hati.
 Sufian (empat kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.
TAHNIAH: Sufian (empat kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.
  • oleh
  • Advertisement