Anda di sini

WikiLeaks bocorkan rahsia alat penggodaman oleh CIA

Advertisement

WASHINGTON: Agensi Perisikan Pusat (CIA) kelmarin menuduh WikiLeaks membahayakan warga Amerika Syarikat (AS), membantu musuh AS dan merencat usaha memerangi ancaman keganasan dengan mendedahkan apa yang disebut laman antikerahsiaan itu sebagai ‘harta karun alat penggodaman CIA.

Jurucakap CIA enggan mengesahkan keaslian bahan yang diterbitkan oleh WikiLeaks, yang menyatakan ia dibocorkan dari operasi penggodaman agensi perisikan itu.

Bagaimanapun, jurucakap tersebut Heather Fritz Horniak mempertahankan operasi siber CIA, yang menurut bahan WikiLeaks memberi tumpuan khusus kepada usaha memecah masuk ke dalam alat elektronik peribadi menggunakan pelbagai jenis sistem malware.

Pada Selasa lepas, WikiLeaks menerbitkan hampir 9,000 dokumen yang menurutnya adalah sebahagian daripada harta besar yang dibocorkan dari CIA, dan menggambarkannya sebagai penerbitan bahan perisikan sulit yang terbesar dalam sejarah.

Koleksi luar biasa ini, yang berjumlah lebih daripada beberapa ratus juta garisan kod, memberi pemiliknya seluruh keupayaan penggodaman CIA,” katanya.

Dokumen tersebut menunjukkan penggodam CIA dapat mengubah peti televisyen menjadi alat mendengar, melangkaui aplikasi enkripsi popular, dan mungkin mengawal kereta orang.

Kebanyakan pakar percaya bahan itu adalah asli, dan media AS kelmarin berkata Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang membuka siasatan jenayah ke atas kebocoran itu.

Sumber bahan itu masih belum jelas. Siasatan akan memberi tumpuan kepada sama ada CIA cuai dalam kawalannya, atau, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Washington Post, ia mungkin satu pemburuan musuh dalam selimut yang serius untuk mencari pembelot atau pembocor yang berniat jahat di dalam agensi.

WikiLeaks sendiri berkata dokumen itu, alat penggodaman dan kod datang dari sebuah arkib yang telah diedarkan di kalangan penggodam kerajaan AS dan kontraktor swasta.

Dokumen WikiLeaks itu memperincikan amalan CIA yang mengeksploitasikan kelemahan dalam perkakasan dan perisian, tanpa pernah memaklumkan pengeluar mengenainya.

CIA didakwa menemui jalan untuk menggodam ke dalam alat elektronik peribadi dari syarikat terkemuka seperti Apple dan Samsung, telefon Android, perisian Microsoft yang popular, dan penghala yang amat penting dari pembuat besar.

Dokumen berkenaan membayangkan ia juga dapat memasuki telefon pintar dalam satu cara yang membolehkannya untuk melangkaui aplikasi enkripsi pesanan yang popular.

Sektor teknologi bergelut memahami bagaimana produk mereka boleh menghadapi risiko. — AFP

Advertisement