Anda di sini

Wanita penyumbang pembangunan negara

Advertisement

 Kong menyampaikan sekuntum bunga kepada salah seorang penghuni Home For The Aged Miri.

WANITA digalak melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan atau aktiviti berkaitan melalui pelbagai persatuan serta pertubuhan yang diasas.

Isteri kepada Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin, Datin Christina Kong berkata, wanita masa kini turut mampu menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi.

Sekarang apa kita lihat, wanita juga berdiri setaraf kaum lelaki kerana mampu menyumbang pembangunan negara.

Justeru, kaum wanita digalak melibatkan diri melalui persatuan atau pertubuhan berkaitan supaya bersama menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat setempat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke rumah kebajikan Home For The Aged Miri bersama rombongan Bahagian Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Miri, kelmarin.

Rombongan terbabit turut diketuai oleh Pengerusi Bahagian Wanita SUPP Senadin, Kaunselor Yap Siew Jin.

Menurut Kong, jika dibanding zaman dulu, wanita sekarang lebih memahami sumbangan, hak dan peranan mereka kepada masyarakat.

Seperti pada petang ini (kelmarin), Bahagian Wanita SUPP Senadin, sempena Hari Wanita Sedunia ingin menunjuk rasa prihatin mereka terhadap golongan emas di sini.

Ini juga sebahagian usaha wanita SUPP Senadin dalam memberikan sesuatu kepada masyarakat serta keprihatinan mereka,” ujarnya. 

Sementara itu, selain sempena sambutan Hari Wanita Sedunia menurut Yap, lawatan itu turut berkongsi keceriaan bersama penghuni rumah kebajikan terbabit.

Kita turut mengadakan gotong-royong memasak bersama antara ahli SUPP Senadin Bahagian Wanita untuk dihidangkan kepada penghuni di sini.

Selain berkongsi kegembiraan bersama mereka, diharapkan melalui lawatan kita ini, mereka tidak berasa disisih kerana masih ada masyarakat luar yang masih prihatin,” jelasnya.

Rombongan itu turut memberikan sekuntum bunga kepada setiap penghuni rumah kebajikan tersebut.

Dalam masa sama katanya, lawatan itu turut membantu ahli SUPP Senadin Bahagian Wanita untuk menambah maklumat mengenai peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan rumah berkenaan.

Di samping itu, ia sebahagian usaha kita dalam menghargai golongan emas yang turut mendidik  secara langsung untuk saling menghormati orang lebih tua dan sikap moral ini harus dipraktik golongan muda,” tambahnya.

Hadir sama ialah Naib Penyelia Miri Home For The Aged Yee Chew Seng dan kakitangan Home For The Aged Sister Emily Martina Ubong.

 Kong (enam kiri), Yap (lapan kanan) dan ahli-ahli Bahagian Wanita SUPP Senadin bergambar bersama penghuni Home For The Aged Miri. Turut kelihatan ialah Yee (lima kiri).

  • oleh
  • Advertisement