Anda di sini

Wanita paling berat di dunia hilang 100 kg

Advertisement

MUMBAI: Para doktor di India berkata semalam bahawa seorang warga Mesir yang dipercayai wanita paling berat di dunia telah selamat menjalani pembedahan pengurangan berat badan dan kehilangan lebih 100 kilogram.

Eman Ahmed Abd El Aty, yang sebelum ini seberat 500 kilogram, sudah dua dekad tidak keluar dari rumahnya di Mesir sehingga tiba di Mumbai bulan lepas untuk pembedahan bariatrik.

Kami gembira untuk memaklumkan pasukan perubatan Hospital Saifee telah berjaya menjalankan pembedahan ke atas Eman Ahmed. Eman berjaya menjalani pembedahan laparoskopik gastrik pada 8 Mac, 2017 di Hospital Saifee,” menurut pihak hospital.

Jurucakap bagi Dr Muffazal Lakdawala, ketua pasukan rawatan, menyatakan berat badan wanita berusia 37 tahun itu berjaya dikurangkan kepada tidak sampai 400 kilogram sejak tiba di Mumbai pada awal Februari.

Eman telah kehilangan lebih 100 kilogram dan hilang berat badan beransur-ansur setiap hari hasil rawatan dan bantuan,” katanya.

Beliau bagaimanapun masih mendahului warga Amerika Pauline Potter yang direkodkan Guinness Book of World Records seberat 293 kilogram pada Julai lalu.

Adik perempuannya telah mendapatkan khidmat Lakdawala, pakar bedah pengurangan berat badan, pada Oktober tahun lepas dan menyatakan semasa kecil, beliau didiagnos ‘elephantiasis’, sejenis masalah perubatan yang menyebabkan anggota badan dan bahagian badan lain mengembang dan menyebabkan penghidapnya tidak dapat bergerak.

Beliau mengalami strok dan berdepan pelbagai masalah kesihatan serius termasuk diabetes, tekanan darah tinggi dan sukar tidur.

Beliau yang berasal dari bandar pelabuhan Mediterranean Alexandria, diterbangkan ke pusat komersial India itu dengan pesawat Airbus yang telah diubah suai khusus pada 11 Februari lalu setelah menunggu sekian lama kerana tiada syarikat penerbangan mahu menerbangkannya ekoran komplikasi kesihatannya itu. — AFP

Advertisement