Anda di sini

Pakar beritahu mahkamah ada kesan luka tembakan

Advertisement

Pakar perubatan forensik beri keterangan kes Bill Kayong

 Tiga daripada tertuduh iaitu (dari kiri) Lie Chang Loon, Stephen Lee dan Mohamad Fitri dieskot keluar dari kenderaan polis Blackmaria  menuju ke Kompleks Mahkamah Miri pagi semalam.

SAMBUNG BICARA: Tiga daripada tertuduh iaitu (dari kiri) Lie Chang Loon, Stephen Lee dan Mohamad Fitri dieskot keluar dari kenderaan polis Blackmaria  menuju ke Kompleks Mahkamah Miri pagi semalam.

MIRI: Pakar patologi, Dr Norliza Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa terdapat kesan luka akibat tembakan pada leher si mati.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan dari arah mana kedudukan sebenar penembak sepertimana yang diterangkan dalam laporan bedah siasatnya.

Saya bukan pakar balistik tetapi berdasar pengetahuan asas bidang perubatan forensik, sesuatu peluru masuk ke dalam badan boleh bertukar pergerakan apabila terkena benda keras seperti tulang,” jelasnya.

Dr Norliza, 40, juga merupakan pakar perubatan forensik di Hospital Umum Sarawak memberitahu demikian ketika dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan empat lelaki termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dituduh membunuh dan bersubahat melakukan pembunuhan ke atas pemimpin PKR Miri, Bill Kayong pada 21 Jun 2016.

Ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Hayda Farizal, beliau memberitahu ada mengambil beberapa spesimen dari badan si mati selepas proses bedah siasat dilakukan.

Sebanyak 12 item diambil dari badan si mati termasuk sampel ‘deoxyribonucleic asid’ (DNA), dadah, alkohol dan juga pakaian si mati,” katanya sambil memberitahu bedah siasat itu dilakukan setelah menerima permohonan daripada pegawai penyiasat kes, ASP Lee Chee Keat.

Ketika diperiksa balas peguambela Orlando Chua, saksi mengklasifikasikan tembakan ke arah si mati dibuat pada jarak dekat dan sederhana dekat iaitu dalam lingkungan satu meter atau lebih.

Dr Norliza, saksi pendakwaan ke-11 merupakan saksi tunggal memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan kes tersebut semalam.

Dalam kes itu, Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Manakala Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook, Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Perbicaraan akan bersambung hari ini dengan dua orang saksi awam dijangka memberi keterangan.

  • oleh
  • Advertisement