Anda di sini

Masuk secara haram warga asing dipenjara 15 bulan, enam sebatan

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Kusnadi, 33, dari Jawa Tengah, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh ditahan pada jam 11.05 malam, 28 Februari lalu di sebuah rumah di Lopeng di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Semasa diperiksa, tertuduh didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah membenar dia memasuki dan tinggal di negeri ini.

Berikutan itu, dia telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Advertisement