Anda di sini

Cef tawarkan taco berharga AS$25,000

Advertisement

MEXICO CITY: Udang kecil, kaviar, cendawan trufeL dan emping emas bukan ramuan standard dalam ‘taco’ yang popular di Mexico, tetapi cef Juan Licerio Alcala menggunakannya untuk membuat ‘taco’ termahal di dunia bernilai AS$25,000 (RM112,500).

Namun setakat ini belum ada orang memesannya.

Makanan yang dipegang dengan tangan dan diperbuat daripada tortila gandum atau jagung berinti itu merupakan sajian yang murah di Mexico.

Licerio, cef di Grand Velas Los Cabos Resort, destinasi percutian mewah di Baja California, memberitahu dia memutuskan untuk berfikir di luar kotak.

Orang teruja dan sedikit terkejut bagaimana kita dapat makan satu ‘taco’ berharga AS$25,000 sedangkan kita boleh mendapatkannya di jalanan dengan harga 10 peso,” katanya.

Kemudian saya menjelaskan masakan itu, teknik dan keharmonian yang akan diangkat dari pinggan, bahawa ia berbaloi.”

Untuk membuat makanan melampau itu, cef mengambil satu tortila jagung yang dititik dengan 24 emping emas 24 karat dan mengisinya dengan daging lembu Kobe, udang kecil, kaviar Almas Beluga, dan keju trufel hitam Brie.

Taco itu direnjis salsa berasaskan cili Morita dan kopi musang, sejenis cecair mahal daripada najis musang yang ditapai selepas musang memakan beri kopi.

Sebagai tambahan, emping emas ditabur di atasnya.

Seminggu selepas hidangan yang begitu mahal itu dimasukkan ke dalam menu, belum ada orang memesannya, akui cef terbabit.

Namun dia berkata ramai telah menunjukkan minat, kebanyakannya pelanggan dari Amerika Syarikat.

Menempah taco termahal di dunia ada kaedah khusus.

Pertama, pelanggan perlu mengemukakan wang pendahuluan AS$12,500 (RM56,250) dan sudah menginap di suite presiden.

Makanan itu disajikan di tengah-tengah gurun sambil dikelilingi motosikal, atau sewaktu melamar.

Kita dapat menyesuaikan diri,” kata Licerio.

Jika wang tidak menjadi masalah, cef ada minuman yang sesuai untuk melengkapi ‘taco’ itu — ‘tequila’ mewah Pasion Azteca berharga AS$150,000 (RM675,000) sebotol. — AFP

Advertisement