Anda di sini

Berbalah, Ankara dingin terhadap pujukan Berlin

Advertisement

BERLIN: Jerman kelmarin cuba menamatkan perbalahan dengan Turki, dengan menekankan persahabatan mereka yang sudah lama terjalin, tetapi rayuan itu hanya mengundang reaksi yang dingin dari Ankara.

Ankara dan Berlin, dua sekutu NATO, terbabit dalam satu pertikaian baharu sejak seminggu lepas setelah beberapa pihak berkuasa tempatan di Jerman melarang rapat umum oleh menteri-menteri Turki.

Perbalahan itu adalah yang terbaharu dalam senarai masalah panjang yang telah mengganggu hubungan dan berlaku sejurus selepas Ankara menangkap seorang wartawan bersama akhbar harian Jerman, Die Welt, yang mencetuskan kejutan di Berlin.

Ahad lepas, Presiden Recep Tayyip Erdogan menghangatkan lagi keadaan apabila beliau memberitahu satu perhimpunan di Istanbul bahawa tindakan menyekat penampilan awam oleh menteri-menterinya tidak ada bezanya dengan amalan Nazi pada masa lalu.

Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel, selepas beliau menerima kunjungan rakan sejawatan dari Turki, Mevlut Cavusoglu, untuk mengadakan rundingan, berkata beliau sudah menjelaskan bahawa perbandingan di antara era Nazi dengan pembatalan rapat umum atau kedaulatan undang-undang di Jerman tidak dapat diterima.

Namun beliau berkata walaupun Berlin dan Ankara mempunyai perbezaan pendapat yang mendalam mengenai beberapa isu, alternatif kepada dialog tidak ada kerana itu sahaja cara mereka dapat kembali, selangkah demi selangkah, kepada hubungan mesra yang biasa.

Cavusoglu mengakui hubungan buruk tidak menjaga kepentingan kedua-dua pihak, dan berjanji untuk mengadakan pertemuan dengan Gabriel lagi bagi rundingan baharu di Turki secepat mungkin.

Namun pada waktu yang sama, beliau meminta Jerman memutuskan sama ada Turki adalah rakan atau bukan.

Di Ankara, Erdogan juga dingin.

Tidak kira stadium, dewan tertutup yang kita kunjungi, kita akan sentiasa mengisinya,” katanya kepada saluran TV awam TRT.

Mereka tahu ini, kerana mereka tahu, mereka cuba mencari jalan untuk menghalangnya.

Di Eropah atau di seluruh dunia, tiada orang yang dapat memutuskan hubungan emosional kita dengan warga kita.”

Menteri-menteri Turki telah memasuki Jerman untuk berkempen bagi menyokong referendum pada April mengenai usaha untuk memperluaskan kuasa Erdogan.

Menteri-menteri berkenaan ingin sekali mendapatkan sokongan masyarakat Turki di Jerman yang mempunyai 1.4 juta yang layak mengundi, pangkalan pengundi keempat terbesar selepas Istanbul, Ankara dan Izmir.

Cavusoglu sendiri pergi ke bandar raya Hamburg di utara Jerman di mana beliau berucap kepada kira-kira 200 orang penyokong di kediaman konsul Turki pada petang Isnin lepas.

Kelmarin, seorang wartawan akhbar Jerman, Die Zeit, berkata dia telah diserang oleh beberapa orang lelaki ketika dia pergi ke konsulat di Hamburg untuk mendengar ucapan Cavusoglu.

Wartawan itu telah membawa poster yang menyebut ‘Bebaskan Deniz’ yang merujuk kepada wartawan Jerman-Turki bagi akhbar Die Welt, Deniz Yucel, yang telah ditahan di Turki sejak Februari lalu.

Pihak berkuasa Hamburg telah meminta penjelasan daripada konsulat terbabit mengenai insiden tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa Zurich kelmarin berkata mereka telah meminta kerajaan Swiss untuk membatalkan rapat umum yang dirancang oleh Cavusoglu pada Ahad ini ekoran kebimbangan mengenai keselamatan.

Canselor Austria, Christian Kern, telah menuntut larangan ke atas ahli politik Turki daripada mengadakan kempen politik dalam Kesatuan Eropah (EU).

Jerman dan Turki menjalin hubungan yang istimewa kerana masyarakat besar Turk yang telah menetap dalam ekonomi terbesar di Eropah, iaitu legasi daripada satu program pekerja jemputan (Gastarbeiter) yang dilancarkan pada 60-an dan 70-an. — AFP

Advertisement