Anda di sini

Pembunuhan Bill Kayong, saksi akui ternampak kesan tembakan

Advertisement
 Hasyikin (enam kanan) dan ahli keluarga bergambar bersama Majen (memakai kot) selepas sesi perbicaraan tengah hari semalam.
TUNTUT KEADILAN: Hasyikin (enam kanan) dan ahli keluarga bergambar bersama Majen (memakai kot) selepas sesi perbicaraan tengah hari semalam.

MIRI: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu terdapat kesan tembakan pada cermin sebelah pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux warna putih yang berhenti di lampu isyarat berhampiran Emart, Tudan.

Menurut Manuel Maratis, dia ternampak kesan tembakan itu ketika berhenti di lorong sebelah kanan kenderaan jenis Toyota Hilux terbabit iaitu di lorong membelok ke arah simpang Tudan di lampu isyarat yang sama.

Apabila lampu isyarat bertukar hijau untuk kenderaan bergerak lurus, saya dapati kenderaan Hilux terbabit tidak bergerak dan baharu saya sedari bahawa kenderaan terbabit bukan berhenti sebaliknya ada masalah (sesuatu yang tidak kena) apabila ternampak kesan tembakan pada cermin sebelah pemandu,” katanya.

Manuel, 30, memberitahu demikian ketika dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan empat lelaki termasuk seorang ahli perniagaan bergelar datuk yang dituduh membunuh dan bersubahat melakukan pembunuhan ke atas pemimpin PKR Miri, Bill Kayong pada 21 Jun 2016.

Dalam keterangan lanjutnya, saksi berkata apabila lampu isyarat untuk lorong membelok ke simpang Tudan bertukar hijau, dia terus memandu sambil membuat panggilan kepada pihak polis untuk memaklumkan kejadian itu.

Setelah itu, saya membuat pusingan ‘U’ di sebelah simpang Tudan menuju ke Emart sebelum berhenti di kawasan berdekatan tapak pembuangan sampah sementara menunggu ketibaan polis.

Apabila saya nampak sebuah kenderaan lain berhenti berdekatan Hilux, saya terus menghalakan kenderaan menuju arah Kuala Baram dan membuat pusingan ‘U’ di lampu isyarat berdekatan sebuah sekolah Cina sebelum balik semula ke lampu isyarat sama tempat kenderaan Hilux berhenti,” katanya sambil memberitahu ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumah.

Semasa diperiksa balas seorang daripada peguam bela tertuduh, Orlando Chua, saksi memberitahu dia sampai di lampu isyarat tersebut sekitar jam 8.45 pagi dan keadaan lalu lintas ketika itu tidak sesak.

Manuel, seorang juruteknik di sebuah syarikat swasta di sini merupakan saksi kelapan dalam perbicaraan kes itu yang masuk hari kedua semalam.

Manakala keempat-empat tertuduh, Mohamad Fitri Pauzi, 30; Lie Chang Loon, 38; Chin Wui Chung, 51 dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, kelihatan duduk tenang di dalam kadang tertuduh.

Dalam kes itu, Mohamad Fitri dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Manakala Chang Loon dari Taman Pin Fook, Wui Chung dari Lorong 5 Krokop dan Datuk Stephen Lee dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Dalam pada itu, selain Manuel, terdapat empat orang saksi lain turut memberi keterangan dalam perbicaraan kes semalam.

Sementara itu, empat saksi lain yang turut memberi keterangan dalam perbicaraan kes semalam adalah Koperal Mohd Firdaus Mohd Aris, 36, dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, Mohd Salman Maliki, 27, seorang Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Miri, Enrico Dumaog Erat, 54, seorang warganegara Filipina dan Hasyikin Hatta, 42, iaitu isteri mangsa.

Terdahulu, ketika dipanggil memberi keterangan, Mohd Salman berkata pada 21 Jun 2016, dia bekerja syif pagi dan setelah menerima panggilan kecemasan, dia bersama tiga rakan sekerja telah bergegas ke lokasi menggunakan kenderaan ambulans.

Setiba di lokasi iaitu lampu isyarat Emart, saya dapati pegawai polis dan orang ramai sudah berada di kawasan itu.

Saya juga nampak sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux warna putih dengan nombor pendaftaran QMU6462 berada di atas jalan raya,” katanya.

Menurut saksi, sebaik keluar dari ambulans, dia telah didatangi seorang pegawai polis yang memintanya supaya menunggu ketibaan pegawai penyiasat kes baharu boleh memeriksa mangsa.

Menurut Salman, secara luaran dia nampak mangsa tidak bergerak dan kaku serta terdapat kesan kecederaan pada leher kanan mangsa dan mukanya pucat selain tiada pernafasan spontan.

Setelah diperiksa lanjut menggunakan alat stetoskop dan monitor jantung, saya dapati jantung mangsa sudah tidak berdenyut lagi,” katanya.

Sementara itu menurut Enrico, ketika berhenti di lampu isyarat Emart, Tudan iaitu di lorong sebelah kiri kenderan Toyota Hilux warna putih, dia terdengar bunyi tembakan senapang dan kesan retak pada cermin kiri kenderaan terbabit.

Ketika itu katanya dia bersama dua orang rakan, seorang dikenali sebagai Ah Chai (pemandu) dan seorang lagi dengan panggilan “Kawan” yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan sedang dalam perjalanan pulang dari pejabat di Miri menuju ke Sibu.

Ketika diperiksa balas oleh Orlando, Enrico tidak menafikan bunyi letupan yang didengarnya itu kemungkinan tayar meletup kerana dia tidak pernah mendengar bunyi tembakan senapang.

Manakala Hasyikin, ketika ditunjukkan gambar mangsa oleh pihak pendakwa mengesahkan bahawa mangsa adalah suaminya dan mereka telah berkahwin selama 21 tahun serta tidak mempunyai masalah dalam perhubungan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fuad Abdul Aziz selaku ketua pendakwaan dan dibantu TPR Hayda Farizal dan TPR Wan Mohammad I’zzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Ravinthran N.Paramaguru.

Manakala barisan peguam bela tertuduh terdiri daripada Ranbir Singh, Orlando Chua, Arthtur Lee dan David Kuok.

Hadir sama Majen Panyog selaku peguam bela pemerhati bagi keluarga mangsa.

Perbicaraan akan bersambung hari ini dengan ahli patologis dijangka akan memberi keterangan.

Advertisement