Anda di sini

China seru AS-Korea Utara elak ‘pertembungan’

Advertisement

Saran Korea Utara gantung aktiviti misil, nuklear sebagai ganti henti latihan AS-ROK berskala besar

BEIJING: China semalam menyeru kepada Korea Utara untuk menggantung aktiviti misil dan nuklear sebagai pertukaran bagi pemberhentian permainan perang ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, untuk mengelak apa yang ia sebut sebagai “pertembungan”.

Menteri Luar Wang Yi membuat cadangan itu selepas beberapa kejadian yang menyebabkan ketegangan meningkat dengan dramatik di rantau ini, termasuk beberapa ujian misil oleh Korea Utara yang terbang berhampiran dengan Jepun.

China khususnya bimbang mengenai penggunaan sistem pertahanan THAAD oleh Amerika pada minggu ini yang sedang dilaksanakan di Korea Selatan sebagai perisai daripada ancaman misil yang semakin serius ini.

Wang memberi amaran tentang “ancaman krisis” yang diburukkan lagi oleh ujian misil dan nuklear Korea Utara serta latihan ke-tenteraan tahunan AS-Korea Selatan.

Kedua-dua pihak umpama dua kereta api yang sedang bergerak semakin laju menuju ke arah satu sama lain tetapi kedua-duanya enggan memberi laluan,” kata Wang di satu sidang akhbar dalam acara sampingan kepada sesi Parlimen tahunan di China.

Persoalannya ialah: adakah kedua-dua pihak benar-benar bersedia untuk satu pertembungan? Keutamaan kami sekarang adalah untuk memancar lampu merah dan menekan brek ke atas kedua-dua kereta api.”

Beliau mencadangkan agar Korea Utara “menggantung aktiviti misil dan nuklear sebagai pertukaran bagi pemberhentian latihan AS-ROK berskala besar”, sambil menggunakan akronim bagi Korea Selatan.

Pyongyang melancarkan sekurang-kurangnya empat misil merentasi laut menuju ke Jepun pada Isnin lepas, dan tiga daripada roket-roket tersebut jatuh ke dalam per-airan dalam Zon Ekonomi Eksklusif Jepun.

Seoul dan Washington sudah memulakan latihan bersama tahunan yang sentiasa menimbulkan kemarahan Pyongyang, dan AS sudah mula melaksanakan sistem antimisil yang diacukan ke Korea Utara tetapi dianggap oleh Beijing sebagai ancaman kepada kepentingan pertahanannya sendiri.

Wang berkata cadangan China dapat membantu mengembalikan AS dan Korea Utara ke “meja rundingan” untuk menamatkan program senjata Pyong-yang.

Namun ia mencerminkan tawaran silam yang dibuat oleh Korea Utara yang ditolak oleh pentadbiran Presiden AS Barack Obama, yang berkata Korea Utara tidak ada hak untuk menuntut konsesi sebagai balasan bagi mematuhi ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Enam set sekatan PBB sejak ujian nuklear pertama Pyongyang pada 2006 gagal menghentikan kempennya bagi apa yang ia dakwa adalah senjata pertahanan. Ia menjalankan ujian nuklear ter-akhir pada September lalu.

Wang meneruskan kecaman China terhadap sistem Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi Terminal (THAAD) yang sedang digunakan di Korea Selatan.

Beliau berkata “sistem THAAD yang sangat kontroversi merupakan isu terbesar” yang dihadapi hubungan China-Korea Selatan, dan menambah ia “melemahkan keselamatan strategik di China”.

Korea Utara yang memiliki senjata telah menyatakan pelancaran misil itu adalah latihan untuk menyerang pangkalan AS di Jepun. Ia telah mengundang kecaman global.

Majlis Keselamatan PBB kelmarin mengecam sekeras-kerasnya pelancaran tersebut sebagai satu “pencabulan serius” ke atas ketetapan PBB yang melarang Korea Utara daripada memajukan teknologi misil dan mengecam “kelakuan Pyongyang yang semakin menggugat kestabilan”.  

Majlis Keselamatan, di mana AS dan China adalah anggota-anggota tetap, berikrar untuk “mengambil langkah signifikan selanjutnya”.

Mesyuarat majlis tergempar diumumkan semalam oleh AS dan Jepun.

Ekoran pelancaran ber-kenaan, Presiden AS Donald Trump mengulangi “komitmen kukuh” Washington kepada keselamatan Jepun dan Korea Selatan dan memberi amaran tentang “akibat yang sangat serius” di atas tindakannya.

Selepas ketegangan merun-cing, Jabatan Negara AS semalam berkata Setiausaha Negara Rex Tillerson akan melawat Jepun, Korea Selatan dan China dari 15-19 Mac, lawatan pertamanya ke rantau ini.

Rundingannya termasuk “penyelarasan strategik untuk menangani ancaman misil dan nuklear yang maju dari Korea Utara”, kata Jabatan Negara.

THAAD direka untuk memintas dan memusnahkan misil balistik jarak sederhana dan pendek sewaktu ia berada pada peringkat penerbangan terakhir.

Konglomerat Korea Selatan, Lotte Group telah menerima tekanan di China kerana menyediakan tapak bagi sistem itu, di tengah-tengah kebimbangan mengenai tindak balas yang lebih meluas di China terhadap Seoul.

Pegawai China sudah me-nutup 39 daripada 99 outlet runcit Lotte Mart berhubung kebimbangan mengenai ke-selamatan kebakaran, kata seorang jurucakap Lotte, dan agensi pelancongan China memberitahu AFP mereka diarah untuk berhenti mengatur perjalanan ke Korea Selatan oleh pelancong China.

Korea Utara juga sedang berbalah dengan Malaysia.

Kedua-dua negara telah mengenakan larangan balas ke atas warga negara ma-sing-masing daripada me-ninggalkan negara mereka dalam perbalahan berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Malaysia.

Korea Selatan berkata pembunuhan itu dirancang oleh Pyongyang. — AFP

Advertisement