Anda di sini

Bunuh kanak-kanak, lelaki ketahui nasib 29 Mei

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan akan menyampaikan keputusannya pada 29 Mei tahun ini terhadap seorang lelaki tempatan yang didakwa membunuh seorang kanak-kanak lelaki.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu terhadap Mohd Saifulrizan Sainan, 32, selepas kes berkenaan ditutup di peringkat akhir pembelaan.

Tertuduh didakwa membunuh mangsa yang berusia tiga tahun, pada 21 November 2014  jam 7 pagi, di sebatang anak sungai Kampung Jempangah, di daerah Beaufort.

Sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori sampai mati.

Dua saksi dipanggil oleh pihak pembelaan untuk memberikan keterangan, iaitu tertuduh sendiri dan isterinya sebagai saksi terakhir.

Sementara itu, Nurchaya memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing secara serentak pada 4 Ogos tahun ini.

Mohd Saifulrizan kini direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Pendakwaan berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Gan Peng Kun, manakala peguam Ram Singh mewakili tertuduh.

Advertisement