Anda di sini

Tipu: Bekas pembantu tadbir tanah Johor antara tiga direman 21 hari

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pembantu tadbir di Pejabat Tanah dan Galian di sini antara tiga individu yang direman 21 hari bagi membantu siasatan kes penipuan pindah milik tanah menggunakan kekerasan dua tahun lepas.

Perintah reman itu yang berkuat kuasa semalam hingga 27 Mac dikeluarkan Majistret Mohd Azlan Mohd Allias selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Majistret di sini.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di tempat kerja baharunya di Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini kira-kira jam 1 petang kelmarin bagi membantu siasatan menurut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Mohd Azlan turut mengeluarkan perintah reman 21 hari terhadap broker tanah berusia 50 tahun dan jurugegas berusia 38 tahun, berhubung kes sama.

Kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Kuala Lumpur minggu lepas dan telah direman empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun polis memohon lanjutan reman selepas tempoh empat hari berakhir kelmarin, bagi membantu siasatan di bawah POCA. — Bernama