Anda di sini

Rayuan pegawai polis terhadap penjara 100 tahun dibantah

Advertisement

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal terhadap rayuan yang difailkan seorang pegawai kanan polis yang dihukum penjara berjumlah 100 tahun dan 15 kali sebatan kerana merogol dan meliwat seorang remaja perempuan.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohd Zawawi Salleh, menetapkan 23 Mac untuk mendengar bantahan awal pendakwaan terhadap rayuan oleh DSP Rohaizat Abd Ani, 57.

Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya mengemukakan bantahan awal terhadap rayuan oleh pegawai kanan polis itu kerana dia tidak menfailkan petisyen rayuan.

Mengikut prosedur undang-undang, selepas notis rayuan difailkan, perayu hendaklah menfailkan petisyen rayuan yang antaranya mengandungi alasan-alasan rayuan, sebelum rayuannya didengar.

Hakim Zawawi yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim juga mengarahkan peguam yang mewakili perayu (Rohaizat) supaya menfailkan petisyen rayuan sebelum rayuan didengar.

Beliau berkata mahkamah boleh membatalkan rayuan itu kerana kegagalan peguam menfailkan petisyen rayuan, bagaimanapun katanya panel itu turut mengambil kira seorang peguamnya Datuk Geethan Ram Vincent yang tidak dapat hadir ke mahkamah semalam kerana kakinya tergeliat.

Terdahulu peguam, Jaswin Rajendiran yang mewakili perayu memohon penangguhan atas alasan peguam Geethan Ram tidak dapat hadir ke mahkamah semalam kerana kakinya tergeliat malam kelmarin.

Ketika Hakim Zawawi memintanya mengemukakan sijil sakit, Jaswin berkata beliau tidak membawanya dan Hakim itu memintanya menyerahkan sijil sakit kepada mahkamah hari ini.

Rohaizat yang kelihatan tenang, hadir ke mahkamah bersama anggota keluarganya.

Pada 23 Dis 2015, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 100 tahun dan 15 kali sebatan terhadap Rohaizat selepas didapati bersalah terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan meliwat seorang remaja perempuan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara 20 tahun penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua kerana merogol berjalan serentak.

Bagi tiga pertuduhan lagi, hukuman 20 tahun penjara berjalan berturut-turut. Oleh itu Rohaizat akan menjalani hukuman penjara selama 80 tahun dengan 15 sebatan.

Bagi keempat-empat pertuduhan merogol, Rohaizat didapati bersalah merogol remaja itu di hotel sama iaitu Hotel Tang Dynasty, Kota Kinabalu pada masa dan tarikh berlainan.

Dia melakukan kesalahan itu pada 1 Feb 2012 antara 4.30 petang dan 5.30 petang, antara 12.30 tengah hari dan 1.30 tengah hari pada 2 Feb 2012 serta 1 dan 6 Mei 2012 antara 8 pagi dan 3 pagi.

Pegawai kanan polis itu didapati bersalah meliwat remaja itu pada 1 Feb 2012 antara jam 4.30 petang dan 5.30 petang di hotel sama.

Hakim itu turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan Rohaizat merayu ke Mahkamah Tinggi dan menetapkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin. — Bernama

Advertisement