Anda di sini

Rasuah: Empat peniaga warga asing, seorang peniaga tempatan mengaku tidak bersalah

Advertisement

MIRI: Empat peniaga warga asing dan seorang peniaga tempatan dalam lima kes berasingan masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas (Rasuah) terhadap tuduhan merasuah pegawai kanan  Jabatan Imigresen Bahagian Miri.

Zubair Muhammad Fazal Mahmood, 25, Asghar Khan Raid Ullah Khan, 35, Hayat Ullah Said Afzal Khan, 37, dan Asghar Ali  Hanif-Ur-Rahman, 40, semuanya dari Pakistan serta Abdullah Mohd Ali, 55, dari Sabah didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah Skesyen 24 (1) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kes pertama, Zubair didakwa memberi suapan RM100 kepada  seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Miri sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya (tertuduh) gagal mengemukakan pasport serta menggaji seorang pekerja warga Indonesia yang menyalahgunakan pas lawatan sosialnya untuk tujuan bekerja di premis tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh jam 4.30 petang, pada 24 November 2015 di Kedai Perabot Wakil Khan, Jalan Batu Niah Bazar.

Manakala dalam kes kedua, Asghar Khan didakwa melakukan kesalahan serupa dengan merasuah pegawai sama RM100 agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya disyaki menggaji seorang pekerja asing tanpa permit kerja sah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 11 pagi, pada 28 April 2016 di Bonanza Digital Sdn Bhd, Lot 11209 Lambir.

Sementara dalam kes ketiga, Hayat didakwa memberi suapan RM200 kepada seorang lagi pegawai kanan Jabatan Imigresen Bahagian Miri agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap anaknya (tertuduh) yang tidak mempunyai pasport sah yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh jam 4.15 petang, pada 24 November 2015 di Hayatullah Trading Sdn Bhd, Batu Niah Bazaar.

Dalam kes keempat, Asghar Ali dituduh memberi suapan RM300 kepada pegawai sama sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki melakukan kesalahan menggaji pekerja warga asing tanpa mempunyai pasport dan permit kerja sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 4 petang, pada 27 April 2016 di Azhar Furniture, Win House Village, Jalan Miri-Bintulu.

Manakala dalam kes terakhir, Abdullah telah didakwa memberi suapan RM500 kepada seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Bahagian Miri sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadapnya disyaki melakukan kesalahan menggaji pekerja asing tanpa mempunyai pasport dan permit kerja sah merupakan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh jam 5.45 petang, pada 28 April 2016 di Aneka Carpet, Tingkat 1 Permymall, Bandar Baharu Permyjaya di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah semua tertuduh, Hakim Nixon Kennedy Kumbong menetapkan 30 Mac ini untuk pengurusan kes.

Manakala semua tertuduh masing-masing dibenarkan dibebas dengan  jaminan RM6,000 berserta seorang penjamin tempatan yang mempunyai pekerjaan tetap sementara menunggu tarikh tersebut.

Selain itu, kelima-lima tertuduh diarah melapor diri di pejabat SPRM Miri pada setiap Jumaat sehingga kes selesai dan pasport mereka turut ditahan.

Pendakwaan dilakukan oleh tiga Pegawai Pendakwa SPRM terdiri Katherine Nais, Ikhwan Mohd Ibrahim dan Jamal Ayub.

Advertisement