Anda di sini

Perbicaraan kes bunuh Bill Kayong lancar

MIRI: Prosiding perbicaraan kes bunuh pemimpin PKR Miri Bill Kayong berjalan lancar dengan lima saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan masing-masing pada perbicaraan kes itu bermula semalam.

Lima saksi terbabit terdiri daripada Lans Koperal Hairi Bahrin, seorang anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri serta empat jurugambar polis iaitu Koperal Rasit Othman, Lans Koperal Mohd Norazam Bahari, Koperal Rozali Dollah dan Lans Koperal Mohd Hafidzzul Jimat.

Mereka merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes membabitkan Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 21 Jun  2016 di persimpangan lampu isyarat berdekatan pasar raya Emart (Tudan), Jalan Miri-Bintulu.

Manakala tiga lagi tertuduh iaitu Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook, Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Terdahulu dalam keterangannya, Hairi memberitahu bahawa pada 21 Jun 2016, ketika bertugas di Bilik Gerakan IPD Miri, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang pengadu memperkenal diri sebagai Emmanuel.

Katanya, pengadu memaklumkan ada sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dengan nombor pendaftaran QMN6462 berhenti di tepi jalan berdekatan lampu isyarat Emart dan terdapat kesan tembakan pada cermin kenderaan terbabit.

“Setelah menerima maklumat itu, saya mengarahkan anggota peronda diketuai Koperal Sandy Atin pergi ke lokasi.

“Selepas memaklumkan perkara itu kepada anggota dan pegawai, baharu saya membuat laporan polis,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan  Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fuad Abdul Aziz sama ada beliau ada membuat laporan polis atau sebaliknya berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, ketika diperiksa balas oleh peguam bela tertuduh, Ranbir Singh, Hairi memberitahu bahawa nombor kenderaan Toyota Hilux yang terdapat pada laporan polis terdahulu tidak tepat sebaliknya nombor sebenar kenderaan terbabit adalah QMU6462.

Pendakwaan dilakukan TPR Mohd Fuad selaku ketua barisan pendakwaan dan dibantu Hadya Farizal dan Wan Mohammad I’zzat Wan Abdullah.

Manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam bela Ranbir Singh, Orlando Chua, Arthur Lee dan David Kuok.

Hadir sama Simon Siah dan Majen Panyog selaku peguam bela pemerhati bagi keluarga mangsa.

Sementara itu, galeri awam dipenuhi oleh ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan Bill yang ingin mengikuti perkembangan perbicaraan tersebut secara dekat.