Anda di sini

Warga India, warga Malaysia minta dibicara atas tuduhan rasuah

Advertisement
 Abdul Nasar (kanan) dan Balaji (tengah) dibawa              keluar selepas pertuduhan rasuah di Mahkamah Khas Rasuah di Kuching semalam.
RASUAH: Abdul Nasar (kanan) dan Balaji (tengah) dibawa keluar selepas pertuduhan rasuah di Mahkamah Khas Rasuah di Kuching semalam.

KUCHING: Seorang warga India dan seorang warga Malaysia meminta dibicarakan atas tuduhan rasuah bersama di Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam.

Balaji Ramachandran, 38, dan Abdul Nasar Kassim, 50, dari Sungai Buloh, Sela-ngor dituduh memberi rasuah bersama pada 12 November tahun lepas kira-kira jam 12.10 tengah hari di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di bekalang Kamal Curry House di sini.

Dalam pertuduhan yang dibacakan oleh Hakim Nixon Kennedy Kumbong, kedua-dua mereka didakwa memberi suapan bernilai RM500 kepada Pegawai Imigresen Azmee Amin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja mereka yang disyaki menyalah guna pas kerja sementara.

Balaji yang tidak fasih berbahasa Malaysia menggunakan Abdul Nasar yang bersubahat sebagai penterjemah bagi pihaknya untuk menawarkan suapan tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh bagai-manapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan dan dibenarkan ikat jamin RM5,000 seorang serta dua penjamin warga tempatan.

Kedua-dua mereka turut diarahkan melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  setiap hari Sabtu dan Balaji diarahkan menyerahkan pas-port antarabangsa sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan tarikh 29 Mac bagi pengurusan kes dan dari 10 hingga 13 April bagi perbicaraan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asrie Mansor.  

Advertisement