Anda di sini

Polis masih tunggu laporan kes kemalangan maut di Johor Bahru

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu laporan antaranya daripada Jabatan Kimia dan laporan bedah siasat mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan maut di Jalan Lingkaran Dalam, di Johor Bahru, selain rekod perubatan mangsa yang cedera.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus berkata pihak yang terbabit dalam membuat laporan berkenaan perlu mengambil masa kerana ia harus dilakukan dengan teliti, apatah lagi kes kemalangan itu melibatkan mangsa yang ramai.

Sejurus laporan diterima, polis akan melengkapkan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dengan kadar segera.

Polis menjalankan siasatan dengan telus dan teliti serta tidak dipengaruhi mana-mana pihak, beri kami masa dan ruang lakukan siasatan,” katanya pada sidang media semalam.

Mahamad Akhir turut menafikan dakwaan bahawa pihaknya sengaja melengahkan siasatan berhubung kes kemalangan itu yang mengakibatkan lapan remaja berbasikal maut manakala dua kritikal dan enam yang lain cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, 18 Feb lepas.

Pemandu wanita berusi 22 itu dibebaskan dengan jaminan polis sehari selepas kejadian.

Mahamad Akhir menasihatkan orang ramai tidak membincangkan isu berkenaan dengan membuat andaian serta memberi pandangan dan ulasan di media cetak atau elektronik.

Tindakan berkenaan akan mengganggu siasatan polis dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang antaranya mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), katanya. — Bernama