Anda di sini

Pesara polis Filipina akui bunuh 300 suspek

Advertisement

Selain terlibat dalam perang antidadah Duterte, dia juga anggota ‘skuad maut’ di Davao

 Gambar serahan Pejabat Penerangan Awam-Polis Negara Filipina (PNP-PIO) yang dirakam semalam menunjukkan Dela Rosa (tengah) bercakap semasa sidang akhbar di ibu pejabat polis kebangsaan di Manila. — Gambar AFP
PERANG SEMULA: Gambar serahan Pejabat Penerangan Awam-Polis Negara Filipina (PNP-PIO) yang dirakam semalam menunjukkan Dela Rosa (tengah) bercakap semasa sidang akhbar di ibu pejabat polis kebangsaan di Manila. — Gambar AFP

MANILA: Seorang pesara polis memberi keterangan di hadapan Senat Filipina semalam bahawa dia telah membunuh hampir 200 orang ketika menjadi anggota ‘skuad maut’ ketika Presiden Rodrigo Duterte menjadi datuk bandar Davao, dan menyatakan dia mengaku kesalahannya kerana takut kepada Tuhan.

Arturo Lascanas mengakui berbohong pada Oktober semasa soal siasat Senat mengenai pembunuhan tanpa perbicaraan yang dikaitkan dengan Duterte, namun menyatakan dia hanya berbuat sedemikian kerana bimbangkan keselamatan keluarganya dan disebabkan pihak polis telah memberi amaran kepadanya agar menafikan segalanya.

Dia mengakui secara peribadinya telah membunuh 300 orang, 200 daripadanya semasa menjadi anggota skuad maut Davao, yang terakhir pada 2015.

Dia turut mengakui dua kes di mana dia telah membunuh pengkritik Duterte, di bawah arahan pengawal peribadi datuk bandar ketika itu.

Lascanas, yang menangis di hadapan media ketika mendedahkan ceritanya dua minggu lepas, merupakan orang kedua yang memberi keterangan di Senat mengenai hubungan Duterte dengan skuad pembunuh rahsia.

Para sekutu Duterte menafikan dakwaan itu sebagai rancangan lawannya untuk menjatuhkan pemimpin popular terbabit dan perang antidadahnya, satu kempen yang menurut pengkritik ada persamaan mengerikan dengan corak pembunuhan misteri di Davao.

Saya bimbang dengan keselamatan orang tersayang,” menurut Lascanas ketika ditanya sebab dia menafikan kewujudan skuad maut itu.

Dia mendakwa mengubah keterangan kerana berasa terseksa dengan perbuatannya dan inginkan kebenaran untuk ‘membebaskannya’.

Saya bukan sahaja ingin memperbaharui kerohanian saya, tetapi juga kerana takutkan Tuhan, saya ingin membersihkan naluri saya,” katanya.

Duterte beberapa kali menafikan penglibatan dalam hukuman mati langsung, sama ada sebagai presiden atau ketika 22 tahun menjadi datuk bandar Davao.

Ketua polisnya Ronald dela Rosa, bekas ketua polis Davao di bawah Duterte, telah menolak dakwaan skuad kematian sebagai satu mitos yang direka oleh media.

Kumpulan hak asasi manusia mendokumenkan 1,400 pembunuhan mencurigakan di  Davao ketika Duterte menjadi datuk bandar.

Lebih 8,000 maut di seluruh negara sejak Duterte memegang jawatannya lapan bulan lepas, kebanyakannya pengguna dadah yang dibunuh penyerang bersenjata misteri dalam beberapa insiden yang dikaitkan pihak berkuasa dengan pengganas, anggota kumpulan dadah yang menutup mulut pemberi maklumat, atau pembunuhan yang tidak berkaitan.

Pihak polis menolak dakwaan aktivis bahawa mereka menjadi dalang kebanyakan pembunuhan itu.

Pihak polis menyatakan mereka bertanggungjawab atas 2,555 daripada kes tersebut apabila suspek melawan ketika ditangkap.

Dela Rosa semalam mengu-mumkan pelancaran semula operasi antinarkotik selepas penangguhan sebulan ekoran skandal rasuah. — Reuters

Advertisement