Anda di sini

Pengarah syarikat bebas tuduhan pecah amanah

Advertisement

Pertuduhan melibatkan transaksi lebih RM3 juta

 Summugam keluar dari bilik mahkamah selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam semalam atas pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan transaksi lebih RM3 juta berkaitan dana penjualan tanah pertanian di Cameron Highlands. — Gambar Bernama
BEBAS: Summugam keluar dari bilik mahkamah selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam semalam atas pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan transaksi lebih RM3 juta berkaitan dana penjualan tanah pertanian di Cameron Highlands. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat perladangan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam daripada tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga dakwaan pengubahan wang haram melibatkan transaksi lebih RM3 juta berhubung dana penjualan tanah di Cameron Highlands.

Hakim Asmadi Hussin memutuskan sedemikian selepas berpuas hati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pengarah tersebut R. Summugam, 63.

Ketika menjatuhkan hukuman, Asmadi berkata kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi-saksi material untuk memberi keterangan menyebabkan ada kelompangan dan keraguan terhadap kes pendakwaan selain penyiasatan yang lemah.

Wang-wang dikeluarkan merupakan wang milik tertuduh yang diluluskan oleh anggota lembaga pengarah (syarikat itu). Oleh itu, mahkamah dapati tertuduh tidak lakukan pecah amanah, dan serentak itu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 turut tidak terbukti.

Justeru, setelah buat penilaian maksimum terhadap keseluruhan kes pendakwaan melalui saksi-saksi, barang kes yang dikemukakan, serta kredibiliti saksi-saksi, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan gagal buktikan kes prima facie dan tertuduh oleh itu dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Seramai 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohammed Heikal Ismail.

Summugam ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding berkata beliau berasa sangat lega kerana kebenaran berpihak kepadanya.

Saya telah didakwa secara salah pada awal-awal lagi,” katanya yang diwakili peguam Datuk V. Manokaran dan Nicholas Netto.

Summugam didakwa melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dengan menunaikan sekeping cek bank RHB berjumlah RM200,000 di RHB Bank cawangan Persiaran Sultan Ibrahim, Klang pada 30 Mei 2008 dan didakwa melakukan pecah amanah melibatkan sekeping cek bank RHB bernilai RM2.8 juta di Maybank cawangan Shah Alam pada 2 Jun 2008.

Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan menunaikan sekeping cek Alliance Islamic Bank Berhad berjumlah RM249,236 milik sebuah firma guaman tanpa pengetahuan dan kelulusan anggota lembaga pengarah syarikatnya bekerja.

Aktiviti itu didakwa dilakukan di Alliance Islamic Bank, cawangan Klang, pada 28 April 2011.

Summugam turut berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLA yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia dituduh terlibat dalam amalan pengubahan wang haram dengan mengeluarkan wang sebanyak RM200,000 secara tunai milik dua orang, yang mana jumlah tersebut didakwa merupakan hasil daripada aktiviti haram, di RHB Bank cawangan Persiaran Sultan Ibrahim, Klang pada 30 Mei 2008.

Beliau juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan mendepositkan sekeping cek bank RHB bernilai RM2.8 juta milik dua orang tersebut ke dalam akaunnya di Maybank cawangan Shah Alam pada 2 Jun 2008.  

Selain itu, Summugam didakwa melakukan kesalahan sama dengan mengeluarkan wang sebanyak RM249,236 secara tunai melalui cek Alliance Islamic Bank Berhad, milik sebuah firma guaman, yang mana jumlah tersebut didakwa hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan didakwa dilakukan di Alliance Islamic Bank, cawangan Klang, Selangor pada 28 April 2011. — Bernama

Advertisement