Anda di sini

Lelaki sakit mental melecur 90% dipercayai bakar diri sendiri

Advertisement
 Noor Hashim (tengah) menunjukkan gambar mangsa 30-an tanpa identiti yang disyaki membakar dirinya menggunakan minyak petrol pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya di Johor Bahru, semalam. Mangsa dipercayai 90 peratus terbakar dan mangsa hanya berpakaian seluar pendek. — Gambar Bernama
MASIH DALAM SIASATAN: Noor Hashim (tengah) menunjukkan gambar mangsa 30-an tanpa identiti yang disyaki membakar dirinya menggunakan minyak petrol pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya di Johor Bahru, semalam. Mangsa dipercayai 90 peratus terbakar dan mangsa hanya berpakaian seluar pendek. — Gambar Bernama

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki yang pernah menjalani rawatan sakit mental melecur 90 peratus selepas dipercayai membakar dirinya sendiri berhampiran sebuah taman permainan di Taman Bukit Indah, di sini kelmarin, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Supt Noor Hashim Mohamad berkata kejadian itu dilaporkan oleh orang awam kepada polis pada kira-kira 5.30 petang.

Lelaki berusia 30-an itu dijumpai terbaring dengan kesan lecur 90 peratus di anggota badan ekoran hanya memakai seluar pendek. Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata polis menemukan satu botol plastik mengandungi petrol di tempat kejadian yang dipercayai digunakan lelaki itu untuk membakar dirinya.

Katanya seorang lelaki berusia 70-an tampil memberi keterangan di balai polis berdekatan mengaku mangsa adalah anaknya dan pernah dirawat sebagai pesakit mental.

Beliau berkata bagaimanapun polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca lelaki itu terbakar dan melecur.

Dalam pada itu, Noor Hashim berkata polis menahan seorang lelaki pada Ahad lalu kerana disyaki terlibat aktiviti mencuri lori.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan pada 4.45 petang selepas polis menyedari kewujudan sebuah lori yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan Bandar Baru Kangkar Pulai, katanya.

Semakan mendapati lori itu pernah dilaporkan hilang di kawasan Taman Pulai Flora, Kangkar Pulai dan berikutan itu polis membuat pemerhatian dan suspek berjaya ditangkap ketika cuba membuka pintu belakang lori berkenaan, katanya.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah motosikal dinaiki suspek, sebilah parang, wang tunai RM180 serta beberapa peralatan untuk mencuri.

Suspek kini direman lima hari hingga 8 Mac ini bagi membantu siasatan, katanya. — Bernama

Advertisement