Anda di sini

Dugong hampiri kepupusan di Malaysia

Advertisement
 Kepadatan rumput laut di kawasan kepulauan timur Mersing serta perairan bersih merupakan faktor utama ia menjadi tumpuan serta habitat marin terancam, dugong. — Gambar Bernama
HARUS DIPELIHARA: Kepadatan rumput laut di kawasan kepulauan timur Mersing serta perairan bersih merupakan faktor utama ia menjadi tumpuan serta habitat marin terancam, dugong. — Gambar Bernama

SAYA perlu mendapatkan ketulan ais, sarung tangan dan kotak untuk menyimpan spesimen sebelum kita ke Felda Tenggaroh Selatan Satu.

Spesimen ini akan dibawa balik ke Kuala Lumpur, “ demikian kata Ng Jol Ern, Setiausaha kehormat MareCet (badan bukan kerajaan bagi konservasi hidupan marin) setelah selesai makan tengah hari di sebuah medan selera di Mersing.

Penulis berpeluang menyertai ahli pasukan MareCet dan sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mahu berjumpa orang kampung sekitar Mersing berkenaan dugong.

Menurut Ng, mereka mencari sebuah pantai di kawasan Felda Tenggaroh Selatan Satu, Kota Tinggi kerana mendapat tahu ada dugong mati di sana.

Perjalanan dari pekan Mersing ke Felda Tenggaroh Selatan Satu mengambil masa sejam.

Kami tertanya-tanya lokasi pantainya sebaik tiba di tanah rancangan itu kerana di kiri kanan kami cuma ada ladang kelapa sawit.

Tiada tanda langsung ada pantai berhampiran sehinggalah kami bertemu dengan seorang lelaki Melayu berbaju hijau yang sudah sedia menanti di tepi jalan.

Laluan berbukit menuju pantai ini hanya orang kampung tahu dan kami panggil Pantai Tanjung Logok.

Kita kena jalan kaki ke bangkai dugong dan ia mengambil masa 15 minit,” kata lelaki yang memperkenalkan namanya, Anang Minhad.

Berusia 59 tahun, bapa kepada dua orang anak ini merupakan individu yang menjumpai bangkai dugong itu ketika hendak memancing di pinggir pantai berkenaan.              

Ada peneroka Felda di sini jadi nelayan. Ketika musim tengkujuh, kami tidak turun ke laut dan biasanya November hing-ga penghujung Mac kami akan memancing di sini.

Inilah pertama kali saya melihat dugong biarpun sudah menetap di sini sejak 1989, terkejutlah juga,” kata Anang.

Keadaan bangkai dugong itu agak menye-dihkan kerana kulitnya sudah mengelupas.

Ia telah dimakan biawak,” kata Ng.

Beliau dengan pantas mengumpul sampel kulit kerana hari kian senja.

Turut kelihatan beberapa kakitangan Jabatan Perikanan negeri.

DILINDUNGI

Dugong dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 Bahagian 5 Seksyen 27, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 berkuat kuasa di negeri Sarawak dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 di negeri Sabah.

Berdasarkan Akta, Ordinan dan Enakmen berkenaan, tiada siapa pun boleh memancing, mengganggu, menangkap, membunuh, memiliki, menjual, membeli dugong atau mana-mana bahagiannya.

Sekiranya dugong ditangkap dengan tidak sengaja semasa menangkap ikan, hendaklah dilepaskannya segera ke laut jika masih hidup dan sekiranya telah mati hendaklah dilaporkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia.

Setelah selesai mengambil spesimen, Anang mahu kami segera beredar.

Kita ikut laluan hutan pantai elak hujan. Air dah mula pasang dan ombak makin tinggi, kalau lambat kita akan tenggelam.

Nampak tak banyak tapak kaki sepanjang laluan?

Bahaya, ini tapak kaki babi hutan yang masih baharu dan boleh menyerang kita,” katanya.

Hakikatnya, kes dugong mati di Pantai Tanjung Logok bukan perkara baharu.

Media sudah banyak melaporkan kes kema-tiannya sejak pertama kali ditemui di negara ini pada lewat 1960-an.

Keadaan ini mence-tuskan kebimbangan di kalangan pihak kerajaan serta NGO berkaitan konservasi hidupan marin.

Apatah lagi, populasi spesies unik ini tidak banyak di negara kita berbanding Australia mahupun Teluk Arab.

Difahamkan, Australia memiliki populasi terbesar dugong di dunia, anggaran 80,000 ekor di utara negara berkenaan antara Teluk Shark dan Teluk Moreton.

Hasil kajian penyelidikan tempatan (agensi kerajaan berkaitan, universiti serta NGO), mendapati jumlah dugong di negara kita tidak sampai mencecah ratusan ekor apatah lagi ribuan!

Ini yang merisaukan ditambah pula jawapan e-mel Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, Pengarah Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam, Rantau Abang, Terengganu, Jabatan Perikanan Malaysia, berkaitan purata kematiannya.

Bilangan populasi dugong di Malaysia amat sedikit.

Berdasarkan kajian di perairan negeri Johor, Sarawak dan Sabah mendapati hanya tinggal 40-50 ekor di Johor, 20 hingga 30 ekor di Sabah dan Sarawak.

Populasi dugong di Malaysia diancam kepupusan dengan mengambil kira purata kematian hidupan ini setiap tahun antara tiga hingga lima ekor setahun,” katanya.

 Ng (duduk) ketika mengambil spesimen bangkai dugong yang ditemui mati di Pantai Tanjung Logok di kawasan Felda Tenggaroh Selatan Satu. — Gambar Bernama
KAJIAN MENDALAM: Ng (duduk) ketika mengambil spesimen bangkai dugong yang ditemui mati di Pantai Tanjung Logok di kawasan Felda Tenggaroh Selatan Satu. — Gambar Bernama

RUMPUT LAUT

Di Johor, dugong boleh dan pernah ditemui di Sungai Pulai, Sungai Johor, perairan Mersing, Pulau Sibu, Pulau Tinggi, Pulau Besar, Pulau Tengah, Pulau Seribuat dan Pulau Rawa.

Manakala, dugong di Sabah pernah ditemui di Teluk Sandakan, Pulau Tambisan, Pulau Penyu, Labuan, Pulau Gaya, Pulau Manukan dan Pulau Bangi.

Sementara di Sarawak, ia ditemui di perairan Lawas, Teluk Brunei.

Taburan dugong di Malaysia hanya tertumpu di ketiga-tiga negeri ini kerana terdapatnya habitat padang rumput laut yang padat di negeri berkenaan berbanding negeri lain.

Dugong amat terancam kerana ia hanya boleh hidup di kawasan spesifik yang ada ekosistem rumput laut kerana itu makanan utamanya, bukan seperti paus, lumba-lumba yang makan ikan, udang atau hidupan marin lain yang mudah didapati di mana-mana perairan,” kata Dr Louisa Ponnampalam, pengerusi dan pengasas bersama MareCet yang juga Felo Penyelidik Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya (UM).

Kebergantungan tinggi terhadap tumbuhan air berkenaan menyebabkan mamalia marin ini turut digelar lembu laut.

Dikatakan dugong dewasa boleh memakan hingga 50 kilogram rumput laut sehari.                          

Namun, bukan semua jenis tumbuhan air itu menjadi pilihan dugong yang mampu membesar sehingga tiga meter panjang dan mencapai berat 450 kilogram ini.

Sebagai contoh, Pulau Pinang ada padang rumput laut luas di Beting Tengah, namun kajian mendapati dugong tidak pernah ditemui di situ.

Rumput laut kegemaran dugong adalah daripada spesies rendah serat dan tinggi nitrogen serta mudah dihadam.

Dua spesies rumput laut yang digemari adalah ‘Halophila ovalis’ dan ‘Halodule uninervis’,” jelas Louisa.

Bagaimanapun, ekosistem rumput laut di pesisiran pantai yang cetek dan terlindung ini berdepan pencemaran, kemusnahan akibat pe-nambakan, pembangunan pesat serta pukat tunda sekali gus berisiko kepada kelangsungan hidup dugong.

Banyak kajian menunjukkan penurunan populasi dugong di sesuatu kawasan ada kaitan dengan kerosakan habitat rumput laut.

Selain itu, dugong turut berisiko terjerat pada peralatan perikanan seperti pukat hanyut yang digunakan nelayan, pelanggaran bot serta pencemaran air laut.

Walaupun hidup dalam air, sebagai mamalia marin dugong perlu timbul di permukaan air setiap 10 minit untuk bernafas.

Jika ia terjerat pada pukat hanyut, dugong akan lemas kerana tidak dapat naik ke permukaan air untuk bernafas kerana seperti manusia, dugong bernafas menggunakan paru-paru,” katanya. 

BIAK PERLAHAN

Louisa menjalankan penyelidikan dugong bermula 2010 sehingga sekarang dan menjalin kerjasama erat dengan kerajaan negeri Johor dan kerajaan persekutuan. 

Menurut beliau, masalah ancaman dugong memerlukan perhatian jitu.  

Ini kerana dugong mengambil masa amat lama untuk menambah populasi ekoran kadar pembiakan rendah biarpun jangka hayat panjang sehingga 70 tahun.

Dugong betina hanya boleh membiak ketika berusia tujuh hingga 18 tahun, manakala dugong jantan boleh mencapai kematangan seksual dalam tempoh sama.

Tempoh bunting dugong pula adalah 12 hingga 15 bulan dan kelahiran berlaku sekali dalam tempoh tiga hingga tujuh tahun.

Kadar pembiakannya perlahan dan dugong hanya beranak seekor sekali gus mendedahkan-nya kepada kepupusan.

Malah, mamalia ini tidak akan mengawan lagi sehinggalah anaknya itu tidak lagi bersamanya.

Pertalian anak dan ibu dugong sangat rapat.

Biarpun anak itu tidak lagi menyusu selepas 18 bulan, ia akan sentiasa berenang dekat ibunya sekurang-kurangnya dua tahun. Selepas itu, baharulah anak dugong boleh hidup tanpa ibunya,” kata Louisa.

Untuk itu, amat merugikan sekiranya mamalia laut ini mati pada usia belum matang akibat ketidakseimbangan aktiviti manusia kerana akan hilanglah peluang untuk pembiakan populasi.

Namun masalah kemerosotan jumlah dugong ini tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Dugong, dikategorikan sebagai spesies yang terdedah kepada kepupusan pada skala global oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Mamalia marin ini turut disenaraikan pada Apendiks 1, Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES).

Malah, laman sesawang Dugong & Seagrass Conservation Project menyebut populasi hidupan marin ini dianggarkan berkurangan 20 peratus secara global sejak ratusan tahun lalu.

Sebahagian besar puncanya disebabkan ketidakseimbangan aktiviti manusia.

Keadaan itu menyebabkan populasi dugong semakin mengecil tetapi sihat di kepulauan Timur Johor, Sabah dan Sarawak serta ekosistem rumput laut yakni habitatnya perlu dipelihara sebaik mungkin.

Pastinya kita tidak mahu nasib malang penyu belimbing turut sama berlaku kepada dugong.

Penyu belimbing semakin terancam kerana ia sudah pupus dari segi kebolehan membiak.

Biarpun masih ada penyu belimbing tetapi semuanya betina.

Bagaimana proses penambahan populasi akan berlaku?” keluhnya.

Sekarang, kita sudah tahu ancaman dugong dan populasinya kecil.

Adakah kita mahu membiarkannya sahaja?

Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara mega biodiversiti di dunia dan sayang sekali, kalau khazanah ini tidak dihargai,” kata Louisa. — Bernama

 Para penyelidik menjalankan pemantauan mencari dugong dari bot untuk kajian taburan dugong di kawasan kepulauan timur Johor. Berdasarkan sumber Jabatan Perikanan Malaysia, perairan Johor mempunyai antara 40 hingga 50 ekor dugong dengan taburan paling padat di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi. — Gambar Bernama
ATASI RISIKO: Para penyelidik menjalankan pemantauan mencari dugong dari bot untuk kajian taburan dugong di kawasan kepulauan timur Johor. Berdasarkan sumber Jabatan Perikanan Malaysia, perairan Johor mempunyai antara 40 hingga 50 ekor dugong dengan taburan paling padat di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi. — Gambar Bernama
  • oleh
  • Advertisement