Anda di sini

Dokudrama perubatan ‘Jiwa Kacau’ tingkatkan kesedaran penonton

Advertisement
 Antara adegan dalam dokudrama perubatan ‘Jiwa Kacau’ yang akan menemui penonton di TV1 hari ini.
MENARIK: Antara adegan dalam dokudrama perubatan ‘Jiwa Kacau’ yang akan menemui penonton di TV1 hari ini.

MEMENUHI permintaan masyarakat yang semakin peka terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan maklumat penyakit, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan dokudrama perubatan bertajuk ‘Jiwa Kacau’.

Mudah difahami, dokudrama ini membawa satu lakonan drama bagi memberi gambaran tentang jenis penyakit yang berkaitan dengan psikologi dan psikiatri mengikut rawatan dalam bidang kedoktoran dan juga dari sudut agama.

Program 13 episod dengan durasi 30 minit itu disiarkan setiap Selasa, jam 9.30 pagi di TV1 bermula hari ini (7 Mac).

Ia memaparkan topik memberi tumpuan merangkumi Penyakit Skizofrenia, Post Traumatic Stress Disorder, Ketagihan Dadah, Autisme (Autism), Obsessive Compulsive Disorder (OCD), Alzheimer, Postpartum Psychosis (Meroyan), Transvestite, Stress, Anorexia Nervosa, Sindrom Othello, Agoraphobia dan Bipolar Disorder.  

Program ini turut menemu bual doktor pakar perubatan psikiatri Dr. Hazli Zakaria, di samping penerangan dari sudut agama juga diberikan oleh Ustaz Tuan Asmawi, Pakar Motivasi.

Episod bermula dengan tajuk ‘Skizofrenia’ tentang remaja lelaki, Amir yang berubah sikap secara tiba-tiba sahaja kepada menjadi panas baran apabila fikirannya terganggu.

Semuanya berlaku apabila keinginan dan cita-citanya terganggu dan dia mendengar suatu suara di dalam kepalanya.

Halusinasinya boleh mendatangkan bahaya kepada orang yang berlawanan dengan gambaran halusinasinya. Penyakit halusinasi membuat dia bertindak ganas dan boleh mendatangkan mudarat kepada dirinya atau musuh halusinansinya.

Dr. Hazli Zakaria, Pakar Psikiatri menerangkan skizofrenia adalah penyakit yang melibatkan gangguan dari segi pemikiran yang tidak dapat membezakan di antara realiti atau fantasi.

Di samping penerangan doktor pakar, penerangan dari sudut agama juga diberikan oleh Ustaz Tuan Asmawi.

Dalam episod ‘Post Traumatic Stress Disorder’ bermula dengan tragedi Tsunami yang berlaku membawa kesan hitam dalam hidup Puan Liyana yang kehilangan Umairah, anak kesayangannya.

Dia telah membawa Umairah pergi bercuti di Acheh, tanpa restu dari bekas suaminya. Sekembalinya ke Malaysia, dia mengalami gejala gejala penyakit tekanan pada jiwanya yang dipanggil Post Traumatic Stress Disorder (PTSD).

Pemikiran Puan Liyana akan terbayang wajah anaknya apabila berjumpa budak perempuan yang sebaya anaknya. Dia tidak dapat merima hakikat yang anaknya telah mati dan selalu dimarahi bekas suaminya. Akhirnya Puan Liyana pergi berjumpa dengan pakar Psikiatri untuk membantu rawatannya.

Seterusnya isu ‘Ketagihan Dadah’ tentang Haikal yang ketandusan idea untuk menyiapkan kerja menulis novelnya telah dipengaruhi kawannya, Muis supaya mengambil dadah untuk mendapatkan idea menulis seterusnya menjadi hebat dan terkenal.

Maka Haikal mencuba dan dia dapat menyiapkan novelnya. Dia mula ketagih. Sifatnya mula berubah terhadap isteri dengan menjadi baran sehingga sanggup menceraikan isteri dan dia tidak dapat mengawal diri dari ketagihan dan sifat kemarahan.

Akhirnya Haikal meminta tolong rakannya Muis dan Haikal terselamat sebelum terlewat apabila berada di Pusat Serenti.

Banyak lagi yang ingin dikongsikan termasuklah dalam episod ‘Autisme (Autism)’, kisah Kei, kanak-kanak berpenyakit Autisme (Autism), selalu mengundang kemarahan orang di sekelilingnya. Namun Kei memiliki kelebihan sendiri iaitu kemahiran bermain alat muzik.

Manakala episod ‘Obsessive Compulsive Disorder (OCD)’ tentang penyakit seseorang yang terlalu inginkan ‘perfection’ dalam segala perkara, sehingga sikap dan sifatnya terkeluar daripada situasi kebiasaan.

Ketahui juga lebih lanjut penyakit ‘Alzheimer’, di mana seseorang yang mengalamikemalangan yang juga melibatkan keluarga dan juga hentakan ‘concussion’ kepada kepala dan otak sehingga tidak sedar dan ingat apa yang telah terjadi.

Topik yang menjadi tumpuan kini iaitu ‘Postpartum Psychosis (Meroyan)’ yang dialami oleh seorang ibu selepas melahirkan anak.

Ini adalah kerana sesetengah ibu tidak dapat menerima proses perubahan diri yang disebabkan oleh keadaan luaran yang berkaitan. Penyakit ini perlu dirawat secara berjumpa dengan pakar psikolgi dan mengambil ubat berkaitan yang dicadangkan oleh pakar.

Walaupun kedengaran janggal namun penyakit ‘Transvestite’ berlaku di kalangan masyarakat kita. Ia tentang penyakit seseorang lelaki yang bersifat jasmani lelaki tetapi gemar menjadi perempuan apabila dia bersendirian.

Pesakit Trasvestite akan merasa seronok apabila berpakaian wanita. Rawatan kaunseling dan psiko terapi serta bantuan ahli keluarga dan rakan terdekat boleh membantu mengubah sikap pesakit.

Lain-lain episod termasuklah ‘Stress’, iaitu tidak menerima keadaan yang sedang dilaluinya, penyakit ‘Anorexia Nervosa’ yang akan cuba menghadkan pengambilan makanan atau mengadakan gerak-geri berlebihan agar dia menjadi kurus dan terpilih di antara yang ramai. Pesakit ini akan merasa dirinya kurang dari orang lain, walaupun berat badannya sudah lebih rendah dari normal.

Dua lagi tajuk ‘Sindrom Othello’, iaitu penyakit atau kecelaruan dilusi dengan sifat kecemburuan melampau yang selalunya berlaku dalam perhubungan suami isteri, di mana suami mengesyaki isteri mempunyai hubungan dengan orang lain, walaupun tiada bukti. Pesakit yang mempunyai penyakit ini kadang waktu boleh mendatangkan kematian.

Episod ‘Agoraphobia’ iaitu  di mana pesakitnya akan beranggapan bahawa keluar ke tempat umum atau di luar rumahnya adalah sesuatu yang amat menakutkan. Pesakit akan menjadi panik apabila berhadapan dengan orang umum. Cuma psikologis yang boleh membawa pesakit kepada kesedaran sebenar.

Diakhiri tajuk ‘Bipolar Disorder’ di mana pesakitnya akan menjadi aktif dan banyak bercakap. Ia seakan penyakit jiwa Skizofrenia. Kedua-dua penyakit yang dialami ini seakan pesakitnya mempunyai dua personaliti atau ‘split personality’.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

__alt__
Advertisement