Anda di sini

Anggota polis mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

 Tertuduh (kanan) dibawa keluar selepas sebutan pertuduhan di Mahkamah           Khas Rasuah di Kuching semalam.
DIDAKWA: Tertuduh (kanan) dibawa keluar selepas sebutan pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah di Kuching semalam.

KUCHING: Seorang anggota polis berpangkat koperal  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM250 pada 6 September tahun lepas.

Tertuduh, Koperal Zu-liskandar Zolkeflee, 39, yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Zuliskandar dituduh menerima rasuah daripada Awang Ridzuan Matyasin atas dorongan untuk tidak mengambil tindakan ter-hadap Ahmad Nazree Azizi Zamri dan Mohammad Zulhaffizan Noor di Jalan Kerunding di sini kira-kira jam 6.05 petang. 

Nazree disyaki tidak mempunyai lesen memandu manakala Zulhaffizan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Pendakwaan dikendali-kan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Ikhwan Mohd Ibrahim.

Zuliskandar didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM8,000 serta dua penjamin.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri kepada SPRM setiap hari Sabtu sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan perbicaraan kes pada 29 Mac ini di mahkamah yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara untuk tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan.