Anda di sini

PIBG cemerlang akan lahir sekolah terbilang

Advertisement
 Andar (lima kanan, tengah), Vevien (empat kanan), Jilin (tiga kanan), Deneil (dua kanan), Alfred (eblakang dua kiri, bertali leher) bergambar ketika tiba pada majlis itu.
SELAMAT DATANG: Andar (lima kanan, tengah), Vevien (empat kanan), Jilin (tiga kanan), Deneil (dua kanan), Alfred (eblakang dua kiri, bertali leher) bergambar ketika tiba pada majlis itu.

MENTERI Muda Ekonomi Luar Bandar dan Perladangan Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis menjelaskan bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah sebuah organisasi yang cukup signifikan dan penting terhadap perkembangan sesebuah sekolah.

 Menurutnya, tidak dapat dinafikan peranan dan tanggungjawab PIBG di sesebuah sekolah memberi kesan kepada kemajuan dan pencapaian sekolah kerana PIBG menjadi satu saluran atau perantaraan untuk mencetuskan hala tuju dan matlamat sekolah ke arah kecemerlangan pendidikan serta pengurusan PIBG yang cemerlang akan melahirkan sekolah yang terbilang.

 “Kecemerlangan sesebuah organisasi atau persatuan amat bergantung kepada beberapa elemen yang perlu digerakkan secara bersama dan seiring.

 “Oleh itu saya menyeru supaya kita berpadu tenaga dan menyumbang buah fikiran dalam membangunkan dan memajukan PIBG demi kecemerlangan pendidikan anak-anak kita.

 Elemen perpaduan dalam kalangan ahli adalah sangat penting yang akan membolehkan sesebuah organisasi itu memaksimumkan sumber tenaga, usaha dan buah fikiran ke arah kecemerlangan yang membanggakan,” ujarnya.

 Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap semasa menangguhkan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen, Sri Aman di mana teks beliau telah dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Kaunselor Andar Suntai dekat Sri Aman baru-baru ini.

 Katanya, wawasan dalam pendidikan amat menitikberatkan pandangan dan masa hadapan.

 Justeru, untuk merealisasikan hasrat dan wawasan pendidikan yang kita inginkan, maka salah satu strategi yang boleh dilaksanakan ialah dengan merapatkan hubungan sekolah dengan ibu bapa melalui PIBG.

 “Peranan dan hubungan baik antara ibu bapa, guru dan masyarakat setempat seharusnya sentiasa terjalin dan kukuh.

 Hubungan dan kerjasama ini akan mewujudkan pemuafakatan yang saling memerlukan ibarat aur dengan tebing bagi menjana kecemerlangan sekolah,” tegasnya.

 Selain itu, PIBG juga dapat menjadi pemangkin kepada terjalinnya hubungan rapat dengan jabatan kerajaan dan badanbadan bukan kerajaan ke arah mewujudkan permuafakatan dan perkongsian bijak demi kebaikan bersama.

 “Permasalahan sosial pada hari ini cukup membimbangkan kita semua.

 Gejala sosial dan keruntuhan moral yang melibatkan remaja dan pelajar sekolah sangat mencemaskan hati kita.

 Banyak faktor yang menyumbang berlakunya gejala tidak sihat ini.

 Kita tidak seharusnya saling menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak.

 “Oleh yang demikian permasalahan ini perlulah dipandang serius oleh semua pihak.

 Di sinilah terletaknya peranan dan tanggungjawab PIBG untuk sama-sama berganding bahu dengan pihak pengurusan sekolah.

 Pendidikan moral dan penerapan nilai-nilai murni, kasih sayang dan jati diri serta nilai modal insan harus diberikan secukupnya kepada anakanak agar gejala-gejala negatif dapat dihindarkan lebih awal,” jelasnya lanjut.

 Justeru itu katanya, PIBG di sekolah ini perlu bergerak secara aktif dan terancang agar kewujudannya dapat memberi sumbangan yang lebih bermakna lagi berkesan ke arah kecemerlangan yang diharapkan.

 “Budaya ilmu dan budaya kerja cemerlang perlulah dipupuk dan disemai agar persatuan PIBG ini terus relevan dan menjadi penyumbang kepada kecemerlangan pendidikan anakanak,” ujarnya lagi.

 Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Vevien Mujah yang turut berucap di majlis ini turut menzahirkan harapan agar ibu bapa sama-sama berganding bahu memastikan sekolah mencapai kecemerlangan dengan membantu melalui saranan ibu bapa yang menekankan konsep ‘sekolah kita, rumah kita’.

 Guru Besar sekolah ini, Alfred Kendim turut melahirkan perasaan terharu dan terima kasih kepada wakil rakyat ini serta penyumbangpenyumbang peralatan untuk kegunaan sekolah ini terutama daripada Pemanca Lee Siang Hua, Kapitan Kuek Aik Seng dan Kaunselor Wilson Lai.

 Beliau menjelaskan, beliau akan berusaha untuk memperbaiki gred purata sekolah kepada yang lebih baik dan ini akan menjadi kenyataan dengan sokongan dan komitmen padu jentera penggerak yang terdapat di sekolah ini.

 Hadir sama pada majlis berkenaan, Yang Dipertua PIBG Sekolah, Kaunselor Deneil Sawing serta guru-guru kanan sekolah yang lain.

 Dalam pada itu, majlis berkenaan turut diselitkan dengan taklimat ringkas berkenaan keselamatan kebakaran yang telah disampaikan oleh oleh Pegawai Bomba Kanan II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman, Jilin Itar.

 Majlis turut menyaksikan penyampaian lima unit alat pemadam api yang yang disumbangkan oleh Harden.

 Harden turut meluluskan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada PIBG sekolah untuk menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.

  • oleh
  • Advertisement