Anda di sini

Gandingan Wafiy & Erissa tarikan hebat dalam ‘Kasut Bola Pink’

Advertisement
 Erissa dan Wafiy sebagai tonggak utama dalam filem TV eksklusif untuk tayangan saluran Astro First Eksklusif berjudul ‘Kasut Bola Pink’ pada bulan Mac ini.
TARIKAN HEBAT: Erissa dan Wafiy sebagai tonggak utama dalam filem TV eksklusif untuk tayangan saluran Astro First Eksklusif berjudul ‘Kasut Bola Pink’ pada bulan Mac ini.

ASTRO First Eksklusif (saluran 480) secara terus menerus membawakan kepada peminat filem TV tempatan karya-karya berkualiti tinggi setanding dengan filem-filem yang ditayangkan di pawagampawagam berhampiran.

 RED Communications, sebuah produksi tempatan yang telah menyinari industri seni dengan pelbagai naskhah hebat seperti ‘Gol & Gincu’, ‘Songlap’, ‘Istanbul Aku Datang’ dan banyak lagi kini kembali dengan sebuah filem TV eksklusif untuk tayangan saluran Astro First Eksklusif berjudul ‘Kasut Bola Pink’ pada bulan Mac ini.

 Filem TV berdurasi 90 minit yang berkonsepkan hiburan ringan ini sarat dengan mesej-mesej kekeluargaan, kisah persahabatan serta turut menyelitkan elemen pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh para penonton terutamanya golongan sasaran iaitu generasi muda di antara umur 10 ke 16 tahun.

 ‘Kasut Bola Pink’ menampilkan dua bakat cilik yang lahir dari program pencarian bakat kanak-kanak, ‘Ceria Popstar’ iaitu Erissa dan Wafiy sebagai tonggak utama.

 Ini merupakan gandingan sulung mereka dalam sebuah filem yang turut menampilkan nama-nama tersohor lain seperti Vanidah Imran, Jihan Muse, Afdlin Shauki, Bernie Chan, Tauke Jambu, Shidi Ishak dan ramai lagi.

 ‘Kasut Bola Pink’ mengisahkan Nina (lakonan Erissa) yang berumur 12 tahun minat pada solekan dan merupakan seorang fashionista muda yang bakal mengalami sesuatu yang luar biasa apabila dia bertukar identiti dengan pemain bola sepak terbaik dan popular di sekolahnya iaitu Rafiq (lakonan Wafiy).

 Pada suatu hari di petang yang hujan, kedua-dua ibu bapa Nina dan Rafiq lewat untuk menjemput mereka di sekolah.

 Dalam pada kekalutan oleh kerana hujan yang terlampau lebat, bumbung perhentian bas tempat Nina dan Rafiq berteduh disambar petir dan keduadua mereka terkena kejutan elektrik.

 Mereka pengsan.

 Selepas tersedar, mereka terkejut apabila mendapati mereka telah tertukar identiti.

 Lebih merisaukan lagi apabila menyedari dalam masa dua minggu yang akan datang, kedua-dua Nina dan Rafiq mempunyai agenda penting iaitu pertandingan persembahan teater sekolah dan pemilihan pemain bola sepak untuk mewakili negeri.

 Nina dan Rafiq bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian sehinggalah bertemu dengan seorang ahli saintis yang pelik tetapi sangat genius, Professor Latip Puzi @ Prof TipPu (lakonan Afdlin Shauki).

 Ketika mencari jalan untuk kembali kepada keadaan sedia kala, Nina dan Rafiq mula memahami latar belakang kehidupan masing- masing.

 Jika sebelum ini kedua-dua mereka dilihat sering menyakat sesama sendiri kerana merasakan diri masingmasing lebih hebat, kini mereka mula bertoleransi dan bertolak ansur antara satu sama lain.

 Namun begitu, ada beberapa ketika Nina dilihat seakan-akan suka menjadi seorang remaja lelaki sehingga berasa berat hati untuk bertukar semula ke diri lamanya.

 Nina mulai selesa dengan badan barunya, tapi Rafiq tidak.

 Berjayakah Rafiq memujuk Nina untuk bertukar kembali ke badan masing-masing? Jika ya, bagaimana caranya? Siapa pula yang akan membantu mereka dalam misi ini? Saksikan kesudahan ‘Kasut Bola Pink’ yang akan ditayangkan secara eksklusif di Astro First Eksklusif mulai 9 Mac ini.

 Penolong Naib Presiden Kanan Astro First & Astro Best, Sharmin Parameswaran berkata, “Kami di Astro First Eksklusif sungguh teruja untuk menayangkan filem ‘Kasut Bola Pink’ ini di saluran kami.

 Jalan ceritanya dilihat cukup santai dan berkonsepkan hiburan ringan, namun begitu pada masa yang sama ia tetap sarat dengan pelbagai mesej positif yang diselitkan dari saat awal ia ditayangkan sehingga ke babak akhir.

 Fungsi institusi kekeluargaan diketengahkan dengan begitu baik sekali.

 Kisah persahabatan yang bermula dari persaingan di antara maskulin dan feminin berjaya diolah dengan begitu indah oleh saudara Shamyl Othman, selaku pengarah filem ini.

 “Sejujurnya, ‘Kasut Bola Pink’ ini merupakan sebuah karya untuk keluarga.

 Kami syorkan kepada anda untuk luangkan masa menonton filem ini bersama keluarga tercinta dan ambil masa untuk hargai mereka.

 “Syabas kami ucapkan kepada Shamyl dan pihak produksi RED Communications kerana berjaya menghasilkan karya seumpama ini yang mana ia berjaya mengingatkan kembali akan kepentingan persahabatan, kekeluargaan dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian kita,” tambahnya.

 Sebuah lagu runut bunyi khas untuk ‘Kasut Bola Pink’ telah dihasilkan dan dipersembahkan sendiri oleh kedua-dua pelakon utama, Wafiy dan Erissa.

 Lagu yang berjudul ‘Lain Tapi Sama’ ini dicipta oleh penyanyi popular, Tomok, manakala lirik pula oleh Laq dan Hang Nadim.

 ‘Kasut Bola Pink’ boleh ditonton di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 9 Mac 2017.

 Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Advertisement