Anda di sini

Mohd Adham ungguli ‘Bintulu Mountain Bike Challenge 2017’

Advertisement
__alt__
 Mohd Adham (tengah), Sylvester (tiga kanan) dan Norzafry (tiga kiri) merakam kenangan bersama Yakup (kiri), Bohari (kanan) dan pemenang lain.
KENANGAN: Mohd Adham (tengah), Sylvester (tiga kanan) dan Norzafry (tiga kiri) merakam kenangan bersama Yakup (kiri), Bohari (kanan) dan pemenang lain.

CABARAN lasak perlumbaan ‘Bintulu Mountain Bike Challenge 2017’ menyaksikan Mohd Adham Mohd Arif dari pasukan Giant Kuching muncul juara kategori lelaki tertutup dengan mencatat masa terpantas 42 minit 49 saat(s) mengetepikan saingan 56 pelumba lain yang berlangsung di Trek MTB Wisma Bintulu baru-baru ini.

 Perlumbaan sengit itu seterusnya menobatkan Sylvester Ding dari Corbusier Team meraih naib juara dengan mencatat masa 45:01s.

 Diikuti kedudukan ketiga pula diraih oleh Norzafry Nor Halim dengan catatan masa 48:50s.

 Tempat keempat dan kelima masing-masing disandang oleh Abdul Rashid Saini (50:16s) dan Luqman Affendy (51:41s).

 Kategori tersebut menyaksikan juaranya menerima RM300, naib juara menerima RM200 dan ketiga menerima RM100 berserta piala.

 Hadiah tempat keempat dan kelima pula masing-masing menerima RM50.

 UNTUK ALBUM: Chung (tengah), Osama (empat kanan) dan Supian (tiga kiri) merakam gambar bersama Yakup (kiri), Bohari (dua kanan) dan pemenang lain.

 Saingan kategori lelaki veteran pula menyaksikan Chung Xan Tang dari pasukan Promenade Kuching muncul juara dengan mencatat masa terpantas 1:00.

39s.

 Seterusnya pelumba dari pasukan Promenade Kuching, Osama Abdul Malik menduduki naib juara setelah mencatat masa 1:00.

46s.

 Manakala tempat ketiga menjadi milik Supian Nor (Corbusier Team Kuching) dengan catatan masa 1:02.28s.

 Kedudukan keempat dan kelima masingmasingnya disandang oleh Patrick Siqueen (SAXON Multi Sports Extreme Club) dan Azaree Mohammad dari Brunei Darussalam.

 Saingan veteran disertai oleh 68 peserta.

 Juara untuk kategori lelaki veteran membawa pulang hadiah wang tunai RM400, naib juara menerima RM300 dan ketiga menerima RM200 termasuk piala.

 Diikuti tempat keempat serta kelima masing-masing menerima RM100.

 Dalam pada itu, Laurel Lauridsen Adrian dari Sabah merangkul kejuaraan kategori lelaki terbuka.

 Manakala naib juara disandang oleh Muhd I’maadi Abd Aziz dari Brunei Darussalam dan tempat ketiga pula diraih oleh Wan Haikal Wan Zainal dari Kuching.

 Tempat keempat dan kelima masing-masing disandang oleh Mohd Adham Mohd Arif (Bintulu) dan Azmi@ Mohammed Luqman Abd Hadzid (Kuching).

 Kategori lelaki terbuka disertai oleh 107 peserta.

 Juara kategori terbabit membawa pulang hadiah wang tunai RM600, naib juara menerima RM500, ketiga menerima RM400 berserta piala.

 Manakala tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM300 dan RM200.

 Selain itu untuk kategori lelaki junior bawah 19 tahun, Hii Yu Heng (Bintulu) muncul juara, naib juara Muhd Azwar Muhd Hairolrani (Brunei Darussalam) dan ketiga Imanizayidi Yunaidi (Brunei Darussalam).

 Tempat keempat dan kelima pula masingmasing diraih oleh Jackson Kho Jia Yi (Kuching) dan Brandon Lee Zhong Xin (Kuching).

 Kategori lelaki junior disertai 13 peserta.

 Juara lelaki junior menerima RM400, naib juara menerima RM300, ketiga menerima RM200 berserta piala.

 Manakala tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM100.

 Sementara itu, untuk kategori wanita terbuka Nik Nadila Nik Idris (Bintulu) dinobat sebagai juara, naib juara Rosnina Minggu (Bintulu) dan tempat ketiga diraih oleh Sharon Yii (Sibu).

 Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Residen Bahagian Bintulu, Muhamad Yakup Kari.

 Hadir sama Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Mohd Bohari Kipli yang mewakili Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi, Pemanca Datuk Dr Francis Toh dan ketua-ketua masyarakat setempat.

 Muhamad Yakup berkata, penganjuran Mountain Bike Challenge merupakan langkah penting BDA dalam menyahut seruan kerajaan negeri melalui Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti untuk menjadikan negeri ini sebagai kuasa sukan.

 “Ini merupakan usaha kita dan kita tidak perlu menunggu arahan khusus untuk menggerakkannya sebaliknya BDA telah mengorak langkah dengan memberi respons kepada seruan kerajaan itu,” katanya pada upacara penutupan kejohanan terbabit baru-baru ini.

 Katanya, kita perlu mempunyai impian besar untuk menjadikan sukan satu agenda penting negeri ini sebagai kuasa sukan bukan sahaja di Malaysia malah di Asia Tenggara dan dunia.

 “Sama-sama kita berusaha untuk merealisasikan impian ini melalui kejohanan perlumbaan Mountain Bike seumpamanya.

 “Mana-mana kumpulan penggerak sukan tidak harus menoleh ke belakang lagi dan semua kaum perlu mengambil kesempatan melalui solidariti untuk membina kesejahteraan dan kemajuan sukan di Bintulu sekali gus menyumbang ke arah kuasa sukan untuk negeri ini,” ujarnya.

 Acara Bintulu Mountain Bike Challenge tersebut menetapkan jarak perlumbaan di trek terbabit untuk satu pusingan ialah 4.4 kilometer dan kejohanan itu disertai oleh 245 pelumba.

 Kejohanan itu merupakan anjuran BDA, Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan DNA Sports sebagai pengaturcara teknikal dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Bintulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lainnya.

  • oleh
  • Advertisement