Anda di sini

Korea Utara beri amaran kepada AS

Advertisement
 Kim Jong-un melawat Sekolah Revolusi Mangyongdae bersama isterinya dan menanam pokok bersama para pelajarnya sempena Hari Menanam Pokok pada Khamis lalu, dalam gambar serahan KCNA di Pyongyang, kelmarin. — Gambar Reuters
MASA BERGEMBIRA: Kim Jong-un melawat Sekolah Revolusi Mangyongdae bersama isterinya dan menanam pokok bersama para pelajarnya sempena Hari Menanam Pokok pada Khamis lalu, dalam gambar serahan KCNA di Pyongyang, kelmarin. — Gambar Reuters

Suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam pula mendakwa jadi mangsa konspirasi

SEOUL: Korea Utara memberi amaran semalam bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mendapat balasan yang keras jika meletakkan Pyongyang dalam senarai pengganas susulan pembunuhan abang tiri pemimpinnya, tatkala seorang suspek dalam kes tersebut mendakwa menjadi mangsa konspirasi.

 Kim Jong-nam, 45, diracun di Malaysia bulan lepas dengan VX, sejenis agen saraf yang amat berbahaya dan diklasifi kasikan sebagai senjata pemusnah besarbesaran.

 Pembunuhan dramatik di lapangan terbang Kuala Lumpur mencetuskan siasatan antarabangsa, kisah pelik cara dagangan ala Perang Dingin Utara dan perbalahan antara Kuala Lumpur dan Pyongyang.

 Media Korea Selatan dan Jepun yang memetik sumber diplomatik sejak itu melaporkan AS mempertimbang untuk meletakkan kembali Utara dalam senarai pengganas yang kini termasuklah Iran dan Syria.

 “AS akan menyedari dengan jelas betapa kerasnya balasan atas tuduhan tidak berasasnya terhadap Korea Utara yang berdaulat jika meletakkannya kembali dalam senarai pengganas,” menurut jurucakap kementerian luar rejim kepada talian berita kerajaan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

 Jurucakap terbabit menegaskan Pyongyang menolak semua bentuk terorisme dan menuduh AS cuba mencemarkan reputasinya.

 Korea Selatan telah menyalahkan Utara atas pembunuhan itu, dipercayai atas arahan Kim Jong-un untuk membunuh abangnya itu yang hidup dalam buangan tetapi masih dilihat sebagai bakal pesaing.

 Namun satu-satunya warga Utara yang ditahan berhubung pembunuhan itu semalam mengecam siasatan Malaysia sebagai konspirasi untuk menjejaskan maruah Republik (Korea Utara).

 Ri Jong-chol, yang dibebaskan dan diusir kelmarin kerana kekurangan bukti, mendakwa pihak polis menawarkan kehidupan yang selesa kepadanya di Malaysia jika sanggup membuat pengakuan palsu.

 “Tetapi tidak mungkin, walau berapa baiknya kehidupan itu, ia masih tidak sebaik ibu pertiwi saya sendiri.

 “Bagaimana saya boleh melupakan ibu pertiwi yang membesarkan saya dan memberi makan kepada saya hingga sekarang?” katanya kepada media di Beijing.

 Kenyataan Ri dibuat beberapa hari selepas seorang wanita Vietnam dan seorang wanita Indonesia didakwa membunuh Kim Jong-nam.

 Rakaman CCTV di lapangan terbang menunjukkan keduadua wanita mendekati lelaki bertubuh gempal itu sebelum menyembur dan menyapu mukanya dengan kain.

 Polis berkata, mangsa mengalami sawan dan mati tidak sampai 20 minit kemudian.

 Calitan pada muka mangsa mendedahkan kesan agen saraf VX.

 Polis kelmarin mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang pekerja syarikat penerbangan Korea Utara Kim Uk-il, 37, berhubung pembunuhan itu.

 Mereka juga menuntut Hyon Kwang-song, setiausaha kedua di kedutaan Korea Utara, membantu dalam siasatan.

 Kedua-duanya dipercayai masih berada di Malaysia.

 Empat yang lain diketuai melarikan diri ke Pyongyang pada hari pembunuhan.

 Korea Utara yang sehingga kini tidak mengesahkan identiti mangsa, menolak sekeras-kerasnya siasatan tersebut dan mendakwa Malaysia bersekongkol dengan musuhnya.

 Sebagai respons, Malaysia membatalkan perjanjian perjalanan bebas visa dengan Korea Utara dan memanggil pulang utusannya ke Pyongyang.

 Negara bersenjata nuklear itu pertama kali ditetapkan sebagai negara penaja terorisme oleh AS pada 1987 apabila ejenejennya mengebom sebuah pesawat Korea Selatan dan menyebabkan kesemua 115 orang di dalamnya terbunuh.

 Tetapi ia dikeluarkan daripada senarai itu pada 2008 selepas Pyongyang mengambil langkah membekukan kemudahan nuklearnya.

 Namun sejak itu Utara mengulangi aktivitinya, melancarkan empat ujian atom dan beberapa ujian misil di sebalik hakikat ia adalah terlarang di bawah beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB.  — AFP

Advertisement